Tanah runtuh: Pengarah projek mengaku tidak bersalah tuduhan pindaan

Tanah runtuh: Pengarah projek mengaku tidak bersalah tuduhan pindaan

Lai Sin Kian didakwa gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan bagi kerja tampungan tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh.

Dalam kejadian pada 19 Okt lepas, sembilan pekerja maut berikutan tanah runtuh di tapak Projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus di sini.
GEORGE TOWN:
Seorang pengarah projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pindaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan tanah runtuh dan sembilan pekerja asing terkorban di tapak projek di Jalan Bukit Kukus Oktober lepas.

Lai Sin Kian, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebagai majikan gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja “backfill” atau tampungan tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan insiden pada 1.50 tengah hari, 19 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan kes setelah peguam Lai, S Kanesh memaklumkan satu representasi dikemukakan beliau kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama (4 Nov) bagi sebutan semula kes syarikat Yuta Maju Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor bagi projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus itu bagi menunggu keputusan representasi yang dikemukakan syarikat itu pada 8 Ogos lalu.

Yuta Maju yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat, mengaku tidak bersalah pada 2 Julai lepas terhadap tiga pertuduhan, yang dalam pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan pembinaan pada 8.30 malam, 11 Okt 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Yuta Maju yang didakwa sebagai majikan gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja “backfill” atau tampungan tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada pukul 1.48 tengah hari, 19 Okt 2018 dan sembilan orang maut.

Kedua-dua pertuduhan ini dibaca mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Syarikat tersebut yang merupakan kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi projek itu turut menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 29(2) akta yang sama kerana gagal melantik seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.