Peguam: Keputusan inkues permulaan bukan penamat, mahu penjenayah ditangkap

Peguam: Keputusan inkues permulaan bukan penamat, mahu penjenayah ditangkap

Peguam Mohd Kamarulzaman A Wahab berterima kasih kepada saksi-saksi yang membantu menjayakan inkues ini.

Mohd Kamarulzaman A Wahab.
SHAH ALAM:
Peguam Adib menyerahkan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas dan polis untuk membawa pihak-pihak yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ke muka pengadilan.

Mohd Kamarulzaman A Wahab berkata keputusan inkues yang diumumkan hari ini bukan penamat tetapi satu baru permulaan dalam mencari keadilan.

“Hari ini mahkamah koroner telah buat keputusan di mana hari ini menyatakan bahawa berdasarkan keterangan yang ada di mahkamah saksi-saksi dan adanya ‘deklarasi’ si mati membuktikan bahawa si mati telah dipukul.

“Ini mengakibatkan kematiannya oleh sekumpulan orang. Kami daripada pasukan keluarga memohon agar pihak polis dan peguam negara bertindak untuk tangkap penjenayah terlibat dan mendakwa mereka yang terlibat sebagaimana yang disarankan mahkamah koroner,” kata beliau pada sidang media di luar kompleks mahkamah di sini.

Inkues mendapati Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 Nov lalu.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues kematian Adib memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang siasatan berjalan.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berterima kasih kepada saksi-saksi yang membantu menjayakan inkues ini.

Beliau berkata keluarga Adib tidak berada di sini hari ini.

“Kita dah maklumkan pada dia (keluarga) keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Adib, Syazlin Mansor bersyukur dan berpuas hati keputusan mahkamah koroner.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih pada kedua saksi pakar dalam inkues itu iaitu Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom Profesor Dr Shahrom Abd Wahid dan Dr Amir Radzi.

“Pakar ini memberi keterangan yang benar di mahkamah dan secara percuma.

“Terima kasih pada kedua-dua mereka juga terima kasih pada semua rakyat Malaysia memberi sokongan dan mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.