Tangisan Syazlin iringi keputusan inkues Adib

Tangisan Syazlin iringi keputusan inkues Adib

Syazlin Mansor sebak sebaik sahaja koroner mengesahkan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah akibat dipukul dan diserang.

Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Adib mengucapkan terima kasih kepada semua.
SHAH ALAM:
Suasana hiba mengiringi keputusan inkues yang diadakan untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, hari ini.

Peguam mewakili keluarga Adib, Syazlin Mansor kelihatan sebak sebaik sahaja Koroner Rofiah Mohamad mengesahkan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah akibat dipukul dan diserang.

Linangan air matanya jelas terpancar kepuasannya bersama barisan peguam yang mewakili keluarga Adib yang lain.

“Alhamdulillah,” antara kata-kata yang disambut barisan peguam keluarga Adib dan pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Syazlin kemudian dilihat ditenangkan suaminya dan beberapa peguam lain selepas prosiding tamat.

Syazlin sebelum ini terpaksa menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia dalam inkues tersebut.

Sebelum ini, Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa raya.

Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikan KPKT dan bomba kerana peguam itu turut mewakili keluarga Adib yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam inkues tersebut. Bagaimanapun, Syazlin kemudian menjadi peguam mewakili keluarga Adib.

Justeru keputusan Rofiah hari ini membuktikan Syazlin dan barisan peguam lain memperjuangkan kematian Adib dengan bukti yang dimilikinya.

Beliau meletakkan kepentingan arwah di kedudukan teratas berbanding kepentingan peribadi.

Suami Syazlin, Ahmad Soffian juga pernah terpalit sama apabila terpaksa meletak jawatan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bagi mengelak konflik berterusan ke atas isterinya.

“Terima kasih, terima kasih,” kata Syazlin ringkas sambil tersenyum ketika orang ramai menjerit memberi pujian “peguam hebat”.

Hadir sama mendengar keputusan itu di mahkamah, Zuraida sendiri, Timbalan Ketua Pemuda PAS merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan beberapa NGO yang menuntut keadilan buat Adib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.