
Katanya, PBS menghargai pelawaan itu, tetapi ia perlu memfokuskan perkara lain seperti hak negeri, pendatang asing tanpa izin dan isu kerakyatan.
“Kami akan menyuarakan perkara ini di Parlimen, bersama Sarawak.
“Ada isu kepentingan bersama seperti keselamatan dan Perjanjian Malaysia 1963, kita sentiasa boleh bercakap bersama (Umno dan PAS).
“Tetapi, kita tiada hasrat menyertai piagam mereka. Kami ucapkan selamat berjaya kepada mereka, tetapi kami akan teruskan (dengan perjuangan) sendiri,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di Penampang, dekat sini, hari ini.
Sebelum ini, Ongkili dilaporkan berkata, parti itu akan “mengkaji senario itu” terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada mahu menyertai piagam berkenaan.
Piagam Muafakat Nasional itu ditandatangani presiden Umno dan PAS pada 14 Sept lalu untuk mendukung kepentingan orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ia turut berjanji mengembalikan keyakinan rakyat dalam “kepimpinan Islam, orang Melayu dan Bumiputera”.
Naib Presiden Umno, Khaled Nordin dilaporkan berkata, piagam itu tidak eksklusif kepada Umno dan PAS, serta mempelawa parti politik di Sabah dan Sarawak serta kumpulan masyarakat awam untuk menyertainya.