Maszlee titis air mata ketika rasmi program pendidikan khas

Maszlee titis air mata ketika rasmi program pendidikan khas

Maszlee yang berucap menutup persidangan menitiskan air mata ketika menyuarakan kebimbangan sama ada hasrat memperkasakan pendidikan pelajar berkeperluan khas mampu dilaksana atau sebaliknya.

Maszlee Malik berkata beliau bimbang tidak dapat meninggalkan jasa kepada golongan pelajar berkeperluan khas dan negara semasa bergelar menteri pendidikan.
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini sebak dan menitiskan air mata ketika berbicara mengenai pendidikan khas pada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas 2019 (SEIC) di sini.

Beliau yang hadir untuk menutup persidangan itu menitiskan air mata dan sebak ketika menyuarakan kebimbangan sama ada hasrat memperkasakan pendidikan kepada golongan pelajar berkeperluan khas mampu dilaksana atau sebaliknya.

Baginya pelajar berkeperluan khas amat dekat di hatinya dan beliau tidak mahu usaha kerajaan memperkasakan kumpulan itu gagal disebabkan kemungkinan terdapat kumpulan pelaksana di kementeriannya tidak berkongsi aspirasi yang sama seperti kerajaan.

Maszlee juga dilihat sebak dan beberapa kali mengesat air mata turut berkongsi kejayaan atlet kelahiran Sabah, Eddy Bernard, pelajar Sekolah Menengah Beluran yang memenangi pingat emas acara 100 meter pada temasya Sukan Para ASEAN walaupun dalam keadaan menghidap cerebral palsy.

“Ini tidak menghalang Eddy daripada menjalani latihan dan bertanding untuk menjadi atlet bertaraf dunia.

“Satu daripada impian saya untuk melihat semua kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas tidak akan merasa mereka tidak diperlukan di dunia ini. Jadi rakan sekerja dan rakan-rakan saya di Kementerian Pendidikan, jangan gagalkan anak-anak kita,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menutup persidangan itu, Maszlee berkata tempoh lima tahun mandat pentadbiran kerajaan adalah terlalu singkat untuk menjayakan semua polisi berkaitan pendidikan khas dan ia menjadi lebih sukar jika kumpulan pelaksana tidak berkongsi aspirasi sama dengan kementerian, beliau dan kerajaan secara keseluruhan.

“Penghujung kepada pelbagai polisi adalah kejayaan dari sudut pelaksanaan. Jika hanya saya dan timbalan menteri serta kerajaan memiliki impian itu tetapi di peringkat pelaksana tidak berkongsi impian serupa, akhirnya kita akan lihat kegagalan di peringkat pelaksanaan (polisi),” katanya.

Maszlee berkata beliau bimbang tidak dapat meninggalkan jasa kepada golongan pelajar berkeperluan khas dan negara semasa bergelar menteri pendidikan.

“Kebimbangan terbesar saya bukanlah saya, tetapi pegawai di kementerian, sama ada mereka boleh berkongsi semangat saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.