
P Uthayakumar berkata, polis belum menunjukkan keterangan yang menyokong dakwaan berlakunya berbalas tembakan dan kejar-mengejar antara mereka dan tiga lelaki itu.
Ini termasuk rakaman kamera papan pemuka kereta peronda dan keputusan bedah siasat, katanya.
“Kami tulis tiga surat kepada perdana menteri, menteri dalam negeri dan ketua polis negara meminta rakaman kamera papan pemuka dan laporan bedah siasat. Kami tidak dapat keterangan itu, jadi kami kebumikan mayat mereka.”
Uthayakumar mewakili keluarga Janarthanan Vijayaratnam, seorang warga Sri Lanka, dan adik iparnya, Thavaselvan Govindasamy, yang mati bersama-sama Maghendran Santhira Segaran.
Polis mendakwa mereka enggan berhenti apabila diarah berbuat demikian di Bandar Country Homes, Rawang, ini diikuti dengan insiden kejar-mengejar sejauh 7km yang berakhir di Batu Arang.
Tetapi ahli keluarga berkata, isteri Janarthanan, Moganambal, yang juga kakak ipar Thavaselvan, berada dalam kereta itu semasa kejadian.
Polis, yang menafikan wanita itu ada semasa kejadian tembakan, menggesa orang ramai membantu mengesannya.

Mayat Janarthanan dan Thavaselvan tidak dibakar mengikut upacara Hindu sebaliknya dikebumikan. Ahli keluarga merasakan mayat mereka mungkin perlu digali semula nanti.
Uthayakumar berkata, ahli keluarga juga mahu laporan maklumat pertama, kenyataan oleh anggota polis yang terlibat dalam kejadian tembakan serta identiti pegawai yang memberikan arahan untuk menembak.
Laporan maklumat pertama itu katanya, adalah anggota polis pertama yang melaporkan kejadian itu.
Uthaya berkata, rakaman kamera papan pemuka penting bagi menunjukkan bagaimana kejadian berbalas tembakan berlaku.
Polis berkata, Thavaselvan dan Maghendran dikehendaki untuk jenayah berkaitan kongsi gelap, manakala Janarthanan, seorang pemastautin tetap British, sudah melebihi tempoh visanya.
Uthayakumar bagaimanapun mempertikaikan dakwaan itu.
Beliau menunjukkan tiket penerbangan dan tag bagasi daripada Qatar Airways menunjukkan Janarthanan dan keluarga baru sahaja tiba di Malaysia.
“Polis belum jawab. Mereka tiada jawapan. Jadi ini memberikan gambaran kita sedang kembali ke zaman negara polis,” kata Uthaya, yang terkenal selepas mempertahankan mereka yang ditahan semasa kemuncak tunjuk perasaan reformasi pada penghujung 1990-an.
Oleh kerana keterangan berkaitan kejadian tidak disediakan, Uthayakumar berkata, Peguam Negara Tommy Thomas patut memberikan kuasa khas sebagai timbalan pendakwa raya kepadanya untuk membongkar persoalan berbangkit, seperti mana peguam Gopal Sri Ram dan Muhammad Shafee Abdullah dilantik menjadi pendakwa raya dalam perbicaran Najib Razak yang sedang berjalan dan kes liwat Anwar Ibrahim pada 2014.
“Polis tanya mana keterangannya. Beri kuasa kepada saya dan saya akan berikan keterangannya.
“Saya akan beritahu kamu di mana Moganambal berada, saya akan dapatkan dia, sama ada hidup atau mati,” tambahnya.