Putrajaya umum diskaun 20% bil elektrik bagi taska berdaftar

Putrajaya umum diskaun 20% bil elektrik bagi taska berdaftar

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata langkah itu bertujuan menggalakkan taska di Semenanjung Malaysia berdaftar dengan JKM untuk memudahkan pemantauan kerajaan.

Yeo Bee Yin berkata, kerajaan menyasarkan 10% taska akan berdaftar dengan JKM susulan pengumuman diskaun 20% bil elektrik mulai 1 Nov ini sehingga 31 Dis 2020. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan mengumumkan diskaun 20% tarif elektrik kepada Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mulai 1 Nov ini sehingga 31 Dis 2020.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan taska berdaftar dengan JKM untuk memudahkan pemantauan kerajaan.

Sehingga bulan lalu, katanya, hanya 4,744 taska yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara.

“Jumlah ini hanya mewakili sekitar 11.9% saja berbanding keperluan taska bagi populasi kanak-kanak di bawah 4 tahun yang dianggarkan berjumlah 40,000 buah di seluruh negara,” katanya dalam sidang media program galakan pendaftaran taska dengan JKM di sini hari ini.

Beliau berkata, selain berdaftar dengan JKM, satu lagi syarat untuk melayakkan taska menikmati potongan itu ialah bil elektrik di bawah tarif komersial (Tarif B).

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, potongan 20% bil elektrik itu dibuat berdasarkan penjimatan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) di Semenanjung Malaysia.

Yeo Bee Yin (tiga dari kiri) berjabat tangan dengan Hannah Yeoh selepas program galakan pendaftaran taska dengan JKM di Putrajaya hari ini.

Ditanya jika program itu akan diteruskan pada 2021, beliau berkata: “Kita akan lihat nanti.”

Katanya, kerajaan menyasarkan tambahan 10% atau 374 taska akan berdaftar dengan JKM susulan pengumuman hari ini.

Ketika ini, katanya, terdapat 3,398 taska di Semenanjung yang berdaftar dengan JKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.