
Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu, sambil memaklumkan tiga suspek lelaki itu masing-masing dua di kesan di Kedah dan satu di Pulau Pinang.
“Banyak kenyataan menghasut dikeluarkan dan kita telah jalankan siasatan, daripada siasatan kita kenal pasti tiga suspek, dua dari Kedah dan seorang dari Pulau Pinang.
“Umur suspek lingkungan 35-40 tahun. Mereka memuat naik kenyataan di Facebook yang menyebabkan ia viral, begitu juga menerusi Whatsapp,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata, kes wanita ditetak seorang lelaki mengamuk yang kemudiannya ditembak mati oleh polis di Bayan Lepas itu merupakan kes terpencil dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan atau individu.
Katanya, suspek yang ditembak mati itu dipercayai terpengaruh dengan rakaman video bersifat ganas yang diterbitkan di Timur Tengah.
“Lelaki itu juga berasal dari keluarga baik, tetapi akibat terpengaruh dengan video luar menyebabkan amukan berlaku,” katanya.
Hamid turut memberi peringatan bahawa polis akan mengambil tindakan tegas ke atasmana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita mengenai kejadian tersebut yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.
Isnin lalu, polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, suspek yang berusia 25 tahun sebelum itu dipercayai mengamuk di dalam kilang terbabit dan menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.
Susulan kejadian itu, tersebar beberapa artikel di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mendakwa mangsa mati syahid selepas menetak mangsa yang dikatakan menghina Nabi Muhammad.