
Sebagai seorang wanita di dunia yang didominasi lelaki, Maureen tertanya-tanya sama ada beliau akan dihormati 27 rakan setugas lelakinya, yang kesemuanya berpengalaman, dan sebilangannya pula lebih tua.
“Marudi merupakan sebuah daerah luar bandar di Sarawak dan terdapat banyak cabaran di sini, termasuk akses perhubungan, terutama sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran.
“Pada waktu itu, saya berfikir sama ada bolehkah bekerja dengan mereka dan meraih pandangan hormat mereka,” katanya kepada FMT.

Namun mengalah bukanlah satu pilihan, dan kini Maureen percaya beliau mendapat pandangan hormat dan kepercayaan rakan sekerja lelakinya yang lain.
“Selepas melapor diri di balai bomba Marudi, saya dapati semua mereka menunjuk sikap bekerjasama dan menghormati.
“Ketika bekerja, saya tegas. Tetapi selepas waktu kerja kami makan dan berborak bersama-sama. Kami semua kawan.”
Maureen memulakan kerjayanya sebagai anggota bomba pada 2007, tetapi berkata ia bukan cita-citanya.
“Pada waktu itu, saya memohon banyak kerja” katanya. “Malah menjadi anggota bomba merupakan pilihan terakhir saya.
“Saya tidak terfikir untuk menjadi anggota bomba, tetapi saya jatuh cinta dengan pekerjaan ini sebaik sahaja mula bekerja. Saya kini berkahwin dengan kerja ini,” katanya ketawa.
Namun banyak kesukaran dan cabaran yang telah ditempuhi oleh anak sulung daripada lima beradik ini.

Beliau bercakap tentang tragedi Gua Rusa di Taman Negara Mulu pada Julai, yang mengakibatkan kematian seorang pelancong dan pemandu pelancong tempatan
Katanya, ia merupakan detik paling sukar dalam tugasnya.
Misi menyelamat sangat mencabar dan saya juga perlu berdepan keluarga mangsa.

“Saya tiada pilihan selain bersikap profesional dalam mengawal emosi ketika itu. Saya beritahu diri sendiri supaya terus tabah, jika tidak bagaimanakah saya dapat memberi sokongan kepada keluarga mangsa?”
Bagaimanapun Maureen memperoleh kelegaan dan juga semangat kerana mengetahui tugasnya membolehkan beliau membantu mereka yang memerlukan.
Matlamatnya kini ialah untuk terus mendidik komuniti di sekeliling beliau tentang kepentingan keselamatan kebakaran.
Berhubung kebimbangan awalnya tentang memperoleh pandangan hormat rakan sekerja, pendekatannya kini lebih mudah.
“Saya tetap menghormati mereka yang lebih tua daripada saya dan akan bertanya pandangan mereka tentang kerja.
“Saya fikir adalah baik untuk mendengar dan mengambil kira pandangan semua.”