
Menurut akhbar South China Morning Post, Toh Lean Seng, yang dikehendaki untuk soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), merupakan pengasas sebuah agensi pemasaran di Hong Kong, iaitu Asia United Media (AUM) yang mempunyai kaitan dengan sebuah portal bernama Dim Sum Daily.
Sejak tahun lepas, SPRM memburu Toh, yang dipercayai melepaskan diri dari Malaysia. Interpol juga mengeluarkan notis merah ke atasnya, selain Jho Low, Naik Faisal Ariff Kamal dan Mohamad Redzuan Adamshah.
AUM adalah salah sebuah firma yang ditubuhkan oleh Toh di Hong Kong beberapa tahun terakhir ini, selain Legion Tech, Legion Media dan DDT Holdings.
Baru-baru ini, media sosial tular dengan kecaman pengguna terhadap Dim Sum Daily berhubung laporannya mengenai gerakan prodemokrasi Hong Kong.
Portal berkenaan menyiarkan satu artikel tanpa nama penulis minggu lepas yang mendakwa seorang penulis blog ekspatriat merupakan ejen Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) sewaktu menghadiri satu perhimpunan “haram” membantah undang-undang ekstradisi di wilayah itu.