
Kumpulan itu berkata beribu-ribu hektar tanah yang dibakar di Kalimantan dimiliki PT Globalindo Agung Lestari (PT GAL), anak syarikat Genting Plantations Berhad di Indonesia.
Aktivis Greenpeace Malaysia mengadakan protes di luar Wisma Genting hari ini dan menyerahkan bukti foto yang diambil pada 12 Sept, menunjukkan lokasi GPS kebakaran hutan.
Kumpulan tekanan global itu mendakwa kira-kira 8,100 hektar tanah milik PT GAL dibakar di kawasan konsesinya antara 2015 dan 2018.
Greenpeace menggesa kerajaan meletakkan tanggungjawab terhadap syarikat Malaysia “yang melanggar peraturan perlindungan hutan/tanah gambut, sama ada dalam negara atau di peringkat antarabangsa”.
“Menangani kebakaran hutan bukan tanggungjawab Indonesia sahaja. Kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu melihat di mana kebakaran bermula, mengapa dan siapa di belakang mereka yang menjadi penyebab utama yang bertanggungjawab di sebalik kebakaran yang berlaku.

“Ini khususnya kerana jerebu daripada kebakaran hutan di Indonesia kini tersebar melepasi sempadan negara,” kata jurucakap Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun.
FMT cuba mendapatkan maklum balas daripada Genting.
Indonesia menamakan empat syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam pembakaran hutan.
Syarikat itu ialah Sime Indo Agro, unit Ladang Sime Darby yang berpangkalan di Kalimantan Barat; Sukses Karya Sawit, unit IOI Corporation; Rafi Kamajaya Abadi, unit TDM Bhd dan Adei Plantation and Industry, unit Kuala Lumpur Kepong Group yang berpangkalan di Riau.
Putrajaya memberi amaran syarikat tempatan yang didapati ada kaitan dengan jerebu boleh dikenakan denda.
Jerebu minggu lalu memaksa sesi persekolahan ditangguhkan di seluruh negara, yang menjejaskan berjuta-juta pelajar, selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah tahap tidak sihat.