Shahrol sahkan RM2.8 bilion dipindah ke syarikat milik Jho Low

Shahrol sahkan RM2.8 bilion dipindah ke syarikat milik Jho Low

Shahrol berkata, satu audit akan mendedahkan bahawa AS$700 juta dari AS$1 bilion bagi satu usaha sama 1MDB-Petro Saudi dipindahkan kepada syarikat Jho Low, Good Star Limited.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan pemindahan RM2.8 bilion semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sekiranya audit dikendalikan ia akan mendedahkan bahawa dana AS$700 juta (RM2.8 bilion) dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke sebuah syarikat, yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa menjawab satu soalan semasa pemeriksaan ketua oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan 1MDB Najib Razak.

Beliau berkata, satu audit akan mendedahkan bahawa AS$700 juta dari AS$1 bilion bagi satu usaha sama 1MDB-Petro Saudi dipindahkan kepada syarikat Jho Low, Good Star Limited.

Sri Ram: Adakah AS$1 bilion itu sudah dibayar?

Shahrol Azral: Ya, sudah.

Sri Ram: Apakah yang audit itu akan dedahkan pada ketika itu?

Shahrol Azral: Audit itu pada 2010 akan dapat mendedahkan bahawa kami melabur AS$1 bilion dengan Petro Saudi International, tetapi AS$300 juta telah masuk dalam syarikat usaha sama itu (antara 1MDB dan Petro-Saudi) manakala AS$700 juta telah dipindahkan ke sebuah lagi syarikat yang dikatakan milik Jho Low.

Sri Ram:Apa nama syarikat berkenaan?

Shahrol Azral: Good Star Limited.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata tidak perlu satu langkah audit ke atas 1MDB memandangkan syarikat berkenaan sudahpun melantik firma akauntan Ernst and Young, dan satu laporan audit akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (Yang Diperbadankan) apabila ia telah bersedia.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos, 2013 di tempat sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.