
NUBE berkata ia pernah menimbulkan isu amalan tidak adil kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.
Setiausaha Agung J Solomon juga mempersoalkan alasan Persatuan Bank-bank Di Malaysia (ABM) bahawa bayaran itu untuk menggalakkan pelanggan menggunakan perbankan dalam talian.
“Tetapi bagaimana orang di luar bandar, di estet-estet, orang yang dilahirkan tanpa kemampuan untuk menggunakan peranti komputer, orang miskin yang tidak mampu membeli peranti teknologi?,” katanya.
Pengguna media sosial hari ini berkongsi rakaman perbualan antara seorang pelanggan dan seorang juruwang, di mana seorang lelaki didengar menyuarakan kekecewaan kerana perlu membayar RM2 bagi transaksi di kaunter.
Lelaki itu berkata perkhidmatan dalam talian selalu tergendala, dan menambah amat tidak adil untuk mengenakan caj pada pelanggan kerana menggunakan kaunter bank.
Solomon berkata NUBE terkejut BNM membenarkan dasar seperti itu yang hanya membantu bank-bank perdagangan.
“Kami sudah membantah isu itu menerusi surat tetapi mereka belum menjawab surat kami.
“Bank-bank perdagangan obses dengan keuntungan. BNM harus tahu implikasinya,” tambahnya.
Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengkritik langkah membenarkan bank mengenakan bayaran transaksi 50 sen bagi mesin pengeluaran tunai (CRM) dan mesin deposit cek (CQM) dan RM2 bagi bayaran transaksi di kaunter mulai bulan depan.
CAP juga mendakwa BNM mengabaikan aduannya.
“Kami menulis kepada BNM untuk menyatakan bantahan… serta mempersoalkan kenapa mereka membenarkan bayaran ini,” kata Presidennya, Mohideen Abdul Kader.
“Kita hanya boleh menganggap kegagalan memberi jawapan itu membawa maksud persetujuan secara diam-diam terhadap dasar baru bank ini untuk mendapatkan keuntungan daripada pelanggan,” tambahnya.
ABM bagaimanapun mempertahankan langkah itu, mengatakan ia akan menggalakkan pelanggan menggunakan platform perbankan dalam talian.