Riau diisytihar darurat jerebu selepas IPU lebih 500

Riau diisytihar darurat jerebu selepas IPU lebih 500

Gabenor Riau, Syamsuar menetapkan status itu mulai semalam sehingga 31 September ini, bergantung kepada keadaan semasa.

Keadaan di wilayah Riau dengan bacaan IPU kini melebihi 500. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Wilayah Riau diisytiharkan berstatus darurat pencemaran udara berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.

Gabenor Riau, Syamsuar menetapkan status itu mulai semalam sehingga 31 Oktober ini, bergantung kepada keadaan semasa.

Syamsuar dipetik media tempatan berkata, pemerintah Riau kini menyediakan pusat pemindahan sementara yang kondusif, terutamanya untuk kanak-kanak dan wanita hamil.

Sementara itu, Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Mior Harris Mior Harun, berlepas ke Pekanbaru pagi ini bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung keadaan pelajar Malaysia di wilayah berkenaan.

Sejak 13 September lalu, kualiti udara di Riau dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat.

Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim di Pekanbaru diarahkan bercuti sejak 13 September lalu. Seramai 214 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia turut diarahkan bercuti.

Difahamkan, sejumlah pelajar sudah pulang ke Malaysia buat sementara.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia akan mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur hari ini mengenai operasi pemindahan pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.