Kondominium mewah jadi lubuk edar dadah, kata polis

Kondominium mewah jadi lubuk edar dadah, kata polis

Polis menahan lima suspek dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM441,040 dari tiga unit rumah di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim.
KUALA LUMPUR:
Polis mendapati pengedar dadah menukar lokasi pengedaran dadah daripada rumah kedai, teres atau banglo kepada kondominium mewah di sekitar ibu kota, susulan serbuan ke atas tiga unit rumah di sebuah kondominium mewah minggu lalu.

“Sekarang ini banyak guna kondominium kerana kediaman berkenaan dikawal pengawal keselamatan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah Brickfields menahan seorang lelaki dan merampas 60 gram serbuk Ecstasy serta 1.5 gram ketamin di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju pada 21 September lalu.

Katanya, suspek pertama membawa kepada serbuan kedua di satu lagi unit rumah di kondominium sama.

“Polis menahan dua wanita warganegara Indonesia dan Vietnam serta merampas serbuk Ecstasy 1.7 kilogram dan ketamin 80.1 gram serta wang tunai RM3,234.”

Susulan itu, katanya, polis mengesan sebuah lagi unit di kondominium sama yang dijadikan lubuk pengedaran dadah dan merampas 2.12 kilogram serbuk Ecstasy, 501.3 gram ketamin, 30 biji pil Erimin 5, 31 batang rokok berisi ganja seberat 38.9 gram dan 6 biji pil Ecstasy.

“Nilai rampasan pelbagai jenis dadah itu dianggarkan RM441,040 dan nilai rampasan wang tunai sebanyak RM3,234. Jumlah keseluruhan rampasan ialah RM444,274.”

Mazlan berkata, polis turut menahan dua lelaki di depan lif kondominium sama yang disyaki terbabit dalam aktiviti penjualan dadah.

Katanya, semua lima suspek itu positif dadah jenis syabu dan mereka direman enam hari mulai 22 hingga 27 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, dadah itu untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan boleh dibekalkan kepada 14,274 penagih dadah.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, satu sindiket perjudian atas talian yang menyasarkan kaki judi dari China tumpas selepas 81 individu ditahan dalam tujuh serbuan sejak 14 Ogos lalu. 

Katanya, suspek itu terdiri daripada 58 lelaki dan 10 wanita warga China serta 11 lelaki dan 2 wanita tempatan.

Beliau berkata, sindiket yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur itu menyediakan pelbagai jenis permainan judi menerusi sebuah lawan web dan meraih keuntungan bulanan sebanyak RM6.3 juta.

“Kalau hendak main permainan judi ini, pelanggan perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mereka dan ia akan ditukarkan kepada bentuk nilai kredit. 

“Selepas habis kredit, mereka perlu tambah duit lagi dan sekiranya pelanggan menang, wang mereka akan dihantar ke akaun bank.”

Mazlan berkata, polis turut merampas 81 komputer riba, 356 telefon bimbit, 20 modem, 13 komputer, 13 kad sim, 5 kad kredit dan 5 router yang semua barang rampasan itu dianggarkan berjumlah RM930,000.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969.

“Memang ada kerjasama dengan pihak berkuasa China. Segala tangkapan kita akan maklumkan dengan Kedutaan China dan jika ada kesalahan, kita akan tuduh mereka di mahkamah ikut perundangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.