
Jabatan berkenaan berkata, penggantungan lesen syarikat Technology PP Industries (Northern) dibuat sementara menunggu syarikat berkenaan memperbaharui lesen perniagaan mereka daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani.
“Manakala syarikat Green Alliance Ecotech seperti yang dinyatakan oleh Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani bukanlah pemegang AP HS 39.15 KPKT.
“Sekiranya syarikat beroperasi tanpa lesen perniagaan, pihak berkuasa tempatan hendaklah melaksanakan penguatkuasaan seperti menutup pengoperasian premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan isu alam sekitar berkata, terdapat kilang kitar semula yang beroperasi di Kedah mengambil peluang insiden jerebu untuk terus mencemarkan bandar di negeri itu dengan gas berbahaya.
Presiden Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani (PTAS) Lydia Ong berkata, kadar jerebu dan gas yang dihasilkan kilang berkenaan bertambah dua kali ganda sejak jerebu melanda negeri berkenaan.
Sebelum itu, Ong bersama 200 penduduk sekitar kawasan kilang mengadakan protes menuntut kerajaan negeri Kedah mengambil tindakan segera bagi membanteras kewujudan kilang yang beroperasi secara haram.
Ong berkata, walaun kerajaan negeri sudah mengambil tindakan secara drastik seperti menutup operasi kilang dan menyekat tenaga elektrik, syarikat terbabit masih beroperasi tanpa henti.
JPSPN berkata, kerajaan Kedah juga sedang mempertimbangkan permohonan enam syarikat baru yang sudah diberi kebenaran merancang, namun tertakluk kelulusan dan ulasan daripada agensi teknikal.
“Sekiranya diluluskan oleh kerajaan negeri, pihak syarikat hanya dibenarkan untuk beroperasi di zon industri yang ditetapkan sahaja dengan syarat pematuhan agensi teknikal,” katanya.
Menurut jabatan itu, sehingga 21 September lalu terdapat lima syarikat pemegang AP sisa plastik yang diluluskan oleh KPKT melalui JPSN. Kesemua syarikat itu juga mempunyai surat pematuhan premis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Lima syarikat berkenaan adalah Syarikat Plasticycle Industries, GC Plastic, YB Enterprise, Technology PP Industries (Northern) dan Green Mark Technology.