
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendedahkan perkara itu hari ini dengan berkata, ia pernah dibincangkan dengan Nik Aziz dalam mesyuarat Majlis Syura parti itu sebelum ini.
“Taawun (kerjasama) ini ialah satu istilah yang sudah sepakat dengan Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau masih hidup lagi kerana kerjasama (dengan Umno) pernah ada zaman 70-an dulu.
“Taawaun dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak pada masa Tok Guru masih hidup lagi,” katanya kepada sidang media yang diadakan selepas acara menandatangani Piagam Muafakat Nasional dengan Umno di PWTC hari ini, sekali gus menandakan terjalinnya kerjasama rasmi antara 2 parti politik orang Melayu itu.
Nik Aziz ketika hayatnya pernah mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung semua pihak, termasuk bukan Islam.
“Sudah berkali-kali saya sebutkan kepada pemimpin Umno agar tinggalkan perjuangan kebangsaan dan terimalah perjuangan Islam. Kalau hari ini Umno berbuat demikian, maka hari ini juga saya sanggup bubar PAS untuk sama-sama berjuang Islam dengan Umno.
“Namun sampai sekarang mereka tidak sanggup mengubah dasar parti Umno itu kepada dasar Islam! Di manakah duduknya roh Islam dalam Umno? Saya tanyakan persoalan ini untuk dijawab oleh seluruh umat Malaysia,” kata Nik Aziz seperti dilaporkan media ketika muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Macang pada 2008 dan pernah diulanginya pada 2010 .
Umno akan sertai kerajaan negeri Kelantan, Terengganu
Hadi turut menyuarakan perasaan terujanya ketika berucap di PWTC yang dilihat sebagai “tempat keramat” Umno.
“Selama ini saya berucap dalam kalangan oleh orang PAS, hari ini campur PAS dengan Umno dan semua pihak dalam BN, Gagasan Sejahtera. Bukan PAS dan Umno saja, tetapi termasuklah kalangan ilmuan, tokoh masyarakat, pegawai kerajaan, bekas hakimdan sebagainya,” katanya.
Hadi juga berkata, susulan penyatuan ini pihaknya juga bersedia menerima pemimpin Umno untuk menyertai 2 kerajaan negeri yang dikuasai parti itu.
“Memang ada rancangan untuk bawa Umno sertai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu. Itu dalam keluarga kami,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Hadi, perkara itu memerlukan masa untuk dilaksanakan dan perlu melihat kepada perkembangan semasa.