
Bekas setiausaha agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), A.H. Ponniah berkata, kerajaan juga perlu menangguhkan pelaksanaan inisiatif baru bagi menggantikan skim tetap dan berpencen yang dijangka dilaksanakan tahun depan.
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga perlu menjalankan satu kajian menyeluruh dengan menubuhkan suruhanjaya bebas diraja (RCI) bagi mendapatkan pandangan pelbagai sudut dan peringkat.
“Pada pandangan saya kedudukan kewangan kerajaan berada dalam kedudukan yang amat kritikal. Ini realiti yang kita perlu terima.
“Kerajaan tidak mampu untuk terus membayar pencen. Kerajaan tidak ada sumber, kecuali kerajaan mencari sumber-sumber pendapatan baru bagi menampung kos untuk membayar pencen,” kata beliau kepada FMT.
Ditanya sejauh mana kerajaan tidak mampu untuk meneruskan skim sedia ada, beliau yang merupakan salah seorang penerima pencen terus terang memberitahu: “Kita tidak ada duit. Kita perlu menerima hakikat ini.”
“Kita sudah sampai satu tahap di mana tidak lagi mampu untuk membayar pencen seperti sekarang, kecuali kita ada sumber lain. Apakah sumber yang kita ada?”
“Sumber sedia ada terbatas. Kita telah pergi terlalu jauh, terlalu jauh… sudah terlewat (dalam pengurusan bayaran pencen),” kata beliau.
Beliau yang bersara dari perkhidmatan awam dua dekad lalu memberitahu, negara memerlukan satu kajian menyeluruh mengenai keperluan memperkenalkan mekanisme baru bagi menampung pembayaran pencen kakitangan awam.
“Ini hanya boleh dilakukan sebuah suruhanjaya diraja bebas, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bukannya oleh jawatankuasa Kabinet atau jawatankuasa diketuai pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Kita memerlukan satu badan bebas jika mahu tahu keadaan yang sebenar dan rasional untuk memperkenalkan satu sistem baru, yang baik bagi menggantikan skim pencen sedia ada,” kata beliau.
Ponniah berkata, jumlah kos bayaran pencen yang dianggarkan RM26 hingga RM28 bilion pada masa sekarang “terlalu besar dan terlalu tinggi” bagi Malaysia, di mana menurut beliau, antara lain berpunca daripada kesilapan pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak pertengahan 1970-an.
Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet 1976 mengesyorkan pembayaran pencen kepada semua skim dan gred perkhidmatan awam. Sebelum itu hanya skim dan gred teras dalam perkhidmatan awam, yang dianggarkan dalam 350,000 orang sahaja yang menerima pencen, yang mana gaji ketika itu juga rendah.
Sejak itu pelarasan gaji, penstrukturan organisasi kerajaan dan pertambahan saiz perkhidmatan awam telah memberi impak besar kepada kenaikan yang terlampau besar dalam kos pencen.
“Keadaan menjadi lebih buruk selepas beberapa polisi yang diperkenalkan sejak awal 1990-an sehingga sebelum kerajaan persekutuan berubah tangan pada Mei 2018.
“Ini belum mengambil perbelanjaan keseluruhan emolumen yang dianggarkan RM80 bilion setahun. Campur kedua-dua kerajaan perlu memperuntukkan hampir RM100 bilion setahun iaitu satu pertiga belanjawan operasi tahunan kerajaan persekutuan,” kata beliau.
Butiran laporan anggaran belanjawan kerajaan persekutuan menunjukkan kos bayaran pencen telah meningkat dari RM20 billion pada 2016 kepada lebih RM26 billion tahun ini.
Menurut Ponniah lagi, kerajaan sebenarnya telah bersedia untuk menghadapi kesan kos pencen apabila memperkenalkan sistem perkhidmatan tetap tanpa berpencen di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1991, dan penubuhan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tetapi ia tidak dilaksanakan dengan menyeluruh termasuk mencari dana yang mencukupi bagi tujuan bayaran pencen dalam jangka panjang.
Susulan program penswastaan akhir 1980-an dan awal 1990-an telah membawa kepada pengecilan tenaga kerja sektor daripada sekitar 1.2 juta kepada 800,000 orang. Bagaimanapun angka itu terus berkembang kepada 1.6 juta orang sekarang.
Minggu lalu, Borhan Dolah, ketika itu ketua pengarah perkhidmatan awam berkata mulai tahun depan, lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat bawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.
Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018, yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfrasa dan lantikan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.
Borhan yang bersara 6 Sept lalu berkata, mekanisme baru yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baru dalam sektor itu.
Katanya, inisiatif yang disasarkan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.
Sementara pengumuman Borhan itu tidak diterima baik oleh kakitangan kerajaan dan ahli-ahli politik, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan penghentian skim pencen sector awam.
Katanya kerajaan mungkin akan meneruskan skim pencen namun langkah pelaksanaan sesuai harus dicari bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Beliau menegaskan Kabinet belum membincangkan dan memutuskan perkara berkenaan.