Ada pihak cuba sabotaj penggabungan UMT-UniSZA, kata Maszlee

Ada pihak cuba sabotaj penggabungan UMT-UniSZA, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata ada pihak cuba menggunakan isu itu untuk meraih kelebihan politik bagi pembangkang.

PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata ada pihak tertentu cuba mensabotaj cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi kepentingan politik.

Beliau berkata kontroversi muncul sekitar cadangan penggabungan dua universiti Terengganu itu sebelum ia diumumkan lagi.

Kabinet pada 4 Sept bersetuju secara prinsip dengan cadangan menggabungkan kedua-dua universiti itu, tetapi beberapa pihak dan individu membantah langkah tersebut.

“Sebelum kita umum penggabungan ini, sudah ada unsur-unsur sabotaj mencetuskan isu dengan memberikan maklumat setengah masak,” kata beliau selepas program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata didapati beberapa “sisa” rejim lama sedang menggunakan isu itu untuk meraih kelebihan politik bagi pembangkang, terutama Umno.

Umno, katanya, sebelum ini menggunakan universiti tempatan sebagai “pusat politik” dan pentadbiran sekarang mahu mengubah keadaan itu.

“Apabila anda hanya mendengar sebahagian maklumat dan bukannya keseluruhan cerita, ia akan membawa kepada salah faham,” katanya.

Maszlee menjelaskan objektif penggabungan itu, mengatakan pencapaian UMT tidak memuaskan berbanding universiti tempatan lain.

“Dari perspektif kebolehkerjaan lepasan UMT, ia juga tidak memuaskan,” katanya.

Beliau berkata susulan perbincangan, Kabinet mencadangkan penggabungan kedua-dua universiti itu seperti yang dilakukan di Norway, Finland, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

“Kita tubuh satu jawatankuasa untuk selidik kelebihan penggabungan seperti itu dan mendapati ada banyak kebaikannya.

“Selebihnya ialah merangka satu pelan komunikasi dan memuktamadkan unsur-unsur struktur jika penggabungan berlaku,” katanya.

Maszlee berkata UMT dan UniSZA mempunyai kursus yang sama dan profesor dari bidang yang sama tetapi di universiti berbeza.

Beliau juga berkata kedua-dua universiti ada kursus yang tidak diambil kesempatan sepenuhnya dan perlu dijadikan bidang yang unik.

“Contohnya, kursus maritim di UMT. Mereka tidak beri tumpuan secukupnya pada kursus itu kerana terlalu sibuk dengan kursus lain,” katanya.

“Tumpuan kami pada universiti awam pada ketika ini ialah memastikan kita jadikan mereka tempat rujukan di pentas dunia dalam bidang-bidang masing-masing.

“Kita juga mahu pastikan profesor kita boleh bersaing di peringkat antarabangsa, dan lepasan kita boleh bersaing secara global sambil memiliki tarikan pasaran yang tinggi,” katanya.

Bekas menteri pendidikan tinggi Khaled Nordin mengkritik cadangan penggabungan itu, mengatakan kerajaan gagal membentangkan kajian komprehensif mengenai keperluannya dan bagaimana ia memberi kesan pada pemegang taruh.

Maszlee berkata itu hanyalah pendapat Khaled.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.