Cemuhan terhadap gagasan Rahmatan Lil Alamin tidak lemahkan semangat saya, kata Mujahid

Cemuhan terhadap gagasan Rahmatan Lil Alamin tidak lemahkan semangat saya, kata Mujahid

Gagasan Rahmatan Lil Alamin penting bagi menyelesaikan isu perkauman dan jurang kaum yang semakin melebar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof, melancarkan minggu Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarbangsa, Gombak, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof hari ini menegaskan bahawa segala cemuhan dan tuduhan mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperjuangkan selama ini tidak pernah melunturkan semangatnya.

Jelasnya, beliau yakin gagasan yang berteraskan RAHMAH iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat itu adalah amat penting untuk negara, khususnya dalam menyelesaikan isu perkauman dan jurang kaum yang semakin melebar.

“Dasar ini akan membawa Malaysia Baru kepada satu tahap yang lebih hebat daripada pelbagai nuansa perkauman, kebencian dan permusuhan yang hari ini merebak seperti virus dalam masyarakat kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Terdahulu dalam ucapannya Mujahid berkata, terdapat beberapa pihak yang mendakwa kononnya gagasan itu membawa tafsiran sebagai pendekatan ‘Rahmatan Lil Kafirin’ atau lebih rahmah kepada orang kafir.

Muhajid berkata, penganjuran beberapa program sempena minggu Rahmatan Lil Alamin yang turut menampilkan ahli akademik terkemuka beberapa negara juga akan menjawab pelbagai persoalan dan tuduhan yang dilemparkan pelbagai pihak selama ini.

Beberapa acara disusun atur sempena minggu Rahmatan Lil Alamin anjuran UIA dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) antaranya khutbah Jumaat khusus membicarakan Rahmatan Lil Alamin hari ini, pelancaran buku Rahmatan Lil Alamin pada 18 Sept ini dan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin pada 19 Sept ini.

Antara ahli akademik yang dijadual membentangkan kertas kerja pada seminar antarabangsa berkenaan ialah Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Afifi Al-Akiti, Rektor Universiti Fatoni, Thailand Ismail Lutfi Japakiya dan Rektor Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, Indonesia H Warul Walidin.

Terdahulu, Mujahid menyertai kira-kira 1,500 warga UIA dan MAIWP melakukan aktiviti “brisk walk” sejauh 3.5km dalam kampus universiti itu, selain turut menanam anak pokok sebagai simbolik dalam konsep RAHMAH.

Mujahid turut melancarkan logo Rahmatan Lil Alamin hasil rekaan penuntut Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UIAM, Wan Muhammad Hafiz Wan Zin yang memaparkan elemen seperti bunga raya, daun dan “bouquet wrapper”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.