
Pakar Sejarah dan Tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaid Ahmad, berkata sebaliknya kerajaan diminta memberi ‘keistimewaan’ kepada peserta berjaya menamatkan latihan.
“Contoh keistimewaan yang wajar dipertimbangkan antaranya diberi keutamaan mendapatkan pekerjaan, dipermudah kelulusan bank, kemudahan kesihatan, diskaun tambang pengangkutan awam atau apa sahaja yang kerajaan rasa sesuai untuk dorong mereka hadir,” katanya kepada FMT.
Zaid berkata, sebagai individu pernah terlibat menggubal modul PLKN, hukuman kepada mereka tidak hadir adalah tidak wajar.
“Saya tak setuju dengan pendekatan menghukum, kalau hukum mereka tidak hadir tak wajar kerana ada yang tidak tersenarai akan selamat dari hukuman.
“Daripada menghukum mereka gagal lapor diri…lebih baik kita beralih pendekatan memberi ganjaran kepada yang hadir PLKN, termasuk yang hadir secara sukarela dan dengan cara itu saya rasa akan lebih ramai anak muda minat nak menyertai.”
Beliau berkata, melalui kehadiran dengan kesedaran tinggi ia secara tidak langsung dapat mencapai matlamat utama program melahirkan warganegara patriotik dan berdisiplin serta memperkukuh integrasi kaum.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan sedang mengenal pasti punca kegagalan 206 peserta PLKN 3.0 mendaftar diri pada Mei lalu, sama ada disebabkan faktor kesihatan atau komitmen pekerjaan.
Timbalan Menteri Adly Zahari, berkata peserta terlibat terikat Akta Latihan Khidmat Negara 2003.
Menurutnya, meskipun terdapat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka, kementerian tetap akan menilai secara keseluruhan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
Mengikut Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), peserta yang gagal mendaftar dalam tempoh ditetapkan boleh dirujuk kepada Bahagian Undang-Undang.