Amanah ikrar pertahan bukan Islam jika ditindas

Amanah ikrar pertahan bukan Islam jika ditindas

Ia selaras ‘rahmatan lil alamin' yang didakap Amanah, kata Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu menyeru Amanah jangan bawa ambil cara PAS dalam bersaing dengan parti itu.
KLANG:
Amanah harus pertahankan golongan bukan Islam sekiranya berlaku penindasan terhadap mereka.

Presiden Mohamad Sabu berkata ia selaras dengan pendekatan ‘rahmatan lil alamin’ yang didakap Amanah.

“Kita mahu ramai lagi orang bukan Islam bersama dalam perjuangan kita kerana Islam ‘rahmatan lil alamin’; bukannya hanya Melayu, bukannya India, bukannya Cina sahaja tetapi rahmat untuk semua. Ini yang perlu kita kumandangkan.

“Dalam kita berlawan dengan PAS, kita jangan ambil cara PAS. Kita kena ambil cara kita… mengetengahkan rahmat untuk semua.

“Sekarang ini penindasan berlaku kepada rakyat Palestin. Satu hari katalah berlaku penindasan kepada orang bukan Islam, Amanah kena bela golongan bukan Islam itu,” katanya ketika ucapan penggulungan Konvensyen Amanah Nasional 2023.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata retorik ‘Islam terancam’ yang dimainkan parti lawan juga menyebabkan parti itu gagal mendapat sokongan orang Melayu-Islam, sehingga beberapa pemimpin Pakatan Harapan dan Umno tewas pada PRU dan PRN lalu.

“Persepsi itu diterima dan diterima oleh orang Melayu termasuk ‘intellectual’… ini berat yang kita hadapi. Kita kena rungkai di mana terancamnya Melayu-Islam,” katanya.

Mengulas isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan, Mat Sabu meminta pihak kerajaan menyelesaikan ia dengan cermat dan memastikan semua pihak raih manfaatnya dan tiada yang tertindas.

“Kita kena bincang dengan lebih lanjut, supaya kalau dah sampai peringkat cadangan-cadangan kita mesti ada ‘win-win’, ertinya semua kaum rasa selamat dan semua puas hati,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Sabu yakin Amanah mampu menang beberapa kerusi di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada PRU16, sekiranya perpaduan parti komponen kerajaan perpaduan semakin kuat.

“Kalau kita campur undi BN dengan PH kita akan perolehi banyak kerusi di empat negeri ini, tapi kalau Amanah seorang nak menang di Kelantan… itu ibarat bermimpi siang hari buat masa ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.