Cadangan gabung UMT-UniSZA sah, laporan siap 6 bulan lagi

Cadangan gabung UMT-UniSZA sah, laporan siap 6 bulan lagi

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi berkata Kementerian Pendidikan amat positif dengan cadangan penggabungan itu.

PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi hari ini mengesahkan pihaknya sedang menghalusi langkah menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Laporan mengenai perkara itu dijangka siap enam bulan lagi.

Menurut Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan amat positif dengan cadangan penggabungan itu dan sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

“Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan penggabungan itu, yang dilihat akan memantapkan keupayaan kedua-dua universiti terbabit.

Ia menambah ia juga satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan serta memberi nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

“Inisiatif itu juga dijangka memacu pembangunan industri di Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti bagi mendapatkan pelajar, kakitangan serta sumber,” katanya.

FMT sebelum ini melaporkan pihak pengurusan tertinggi kedua-dua universiti sudah dimaklumkan oleh ketua pengarah pendidikan tentang inisiatif penggabungan itu, memetik sumber yang mengatakan ia sebahagian daripada langkah jimat cermat Putrajaya untuk institusi pengajian tinggi.

Menurut sumber, perbelanjaan kedua-dua universiti itu terlalu tinggi terutama gaji-gaji pengurusan tinggi, termasuk naib canselor, pendaftar-pendaftar, dan bendahari-bendahari.

Majlis perwakilan pelajar UMT bagaimanapun kecewa ia tidak disertakan dalam siri perbincangan walaupun ia badan pelajar tertinggi yang diiktiraf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.