Kes hak jaga anak, nafkah dapat selesai cepat dengan program pengkhususan

Kes hak jaga anak, nafkah dapat selesai cepat dengan program pengkhususan

Ketua pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menjangkakan kes hadhanah dan nafkah di Wilayah Persekutuan dapat dikurangkan daripada 14 bulan kepada enam bulan.

Gambar Facebook.
KUALA LUMPUR:
Penyelesaian kes hadhanah (hak penjagaan anak) dan nafkah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) dijangka dapat dikurangkan daripada 14 bulan kepada enam bulan menerusi program pengkhususan pengendalian dua kes tersebut serta pengwujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohd Na’im Mokhtar berkata kepatuhan terhadap perintah yang dikeluarkan juga dapat dipertingkatkan melalui pengwujudan bahagian tersebut yang bertindak untuk memantau, menguatkuasa dan melaksanakan perintah.

Katanya, pelaksanaan program tersebut menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan).

“Dua elemen penting dalam pelaksanaan program ini adalah memendekkan tempoh pengendalian kes dan meningkatkan tahap pematuhan setiap perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

“Kedua-dua elemen ini akan memberikan nilai tambah dan persepsi yang positif terhadap perkhidmatan keadilan di Mahkamah Syariah dan dalam masa yang sama dapat memberikan manfaat yang sangat besar kepada masyarakat Islam di Malaysia amnya dan di Wilayah Persekutuan khususnya,” katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai pelaksanaan program itu di MSWP hari ini.

Program yang mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei lepas itu, memfokuskan kepada penambahbaikan pengurusan pendaftaran dan pengendalian kes hadhanah serta nafkah, penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui pengwujudan dua Dewan Mahkamah Tinggi Syariah (Bahagian Hadhanah dan Nafkah) dan dua Dewan Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) serta Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah di MSWP.

Pelaksanaan program itu menelan kos RM3 juta yang merangkumi perbelanjaan melibatkan ubah suai, kelengkapan logistik serta peralatan teknologi maklumat sebanyak RM1 juta dan perbelanjaan emolumen 32 perjawatan baharu RM2 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im yang juga ketua hakim syarie berkata sebuah dewan Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) di MSWP yang dikendalikan Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim telah beroperasi dan menerima pendaftaran kes pertama pada 3 Sept lepas.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak sembilan kes berkaitan tuntutan nafkah telah didaftarkan dan kini berada di peringkat Majlis Sulh iaitu penyelesaian suatu pertikaian antara pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan cara persetujuan bersama.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat menjadi pencetus kepada usaha pemerkasaan

“Mahkamah Syariah di seluruh negara dan mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk dilengkapkan serta direalisasikan sebagaimana pakej keseluruhan program dirangka dan telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri,” kata Mohd Na’im yang juga pengerusi jawatankuasa induk program itu.

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun sejak 2016, sebanyak 5,798 kes hadhanah, nafkah dan kes berkaitan dikendalikan oleh MSWP.

“Saya yakin dengan adanya program ini dapat memberi pendedahan kepada orang ramai untuk mendaftar selain menjimatkan masa mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan,” katanya.

Terdahulu, anggota media dibawa oleh pihak MSWP untuk melawat ke galeri, kaunter pendaftaran, Seksyen Sulh dan Dewan Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.