IAACA tubuh Mahathir International Anti-Corruption Champion Fund

IAACA tubuh Mahathir International Anti-Corruption Champion Fund

Sumbangan bagi dana ini dari negara-negara anggota IAACA dengan Qatar merupakan penyumbang utama.

Abu Kassim Mohamed.
PETALING JAYA:
Persatuan Pihak-pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) menubuhkan satu dana yang dinamakan sebagai Mahathir International Anti-Corruption Champion Fund bagi menjaga kebajikan pegawai-pegawai entitti antirasuah yang teraniaya dan terkesan ketika menjalankan tugas.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed berkata mesyuarat agung IAACA di Vienna, Austria 22 Jan lalu telah membuat pengumuman dan meluluskan pembentukan dana itu.

“Dana ini telah dipersetujui untuk dinamakan sebagai Mahathir International Anti-Corruption Champion Fund.

“Sumbangan bagi dana ini adalah dari negara-negara anggota IAACA dengan Qatar merupakan penyumbang utama,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Abu Kassim berkata GIACC juga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada tokoh antirasuah antarabangsa, Ali Fetais Al-Marri yang dipilih sebagai antara penerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri”.

Ali adalah antara 15 individu yang menerima pingat “Tan Sri” daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersempena hari keputeraan rasmi baginda, semalam.

Katanya, peguam negara Qatar itu yang juga pengasas dan pengerusi Pusat Kedaulatan Undang-undang dan Antirasuah (ROLACC) telah banyak bekerjasama dengan GIACC terutama dalam inisiatif antirasuah di peringkat antarabangsa.

“ROLACC adalah sebuah organisasi antirasuah Qatar yang banyak membuat pengiktirafan kepada tokoh antirasuah antarabangsa termasuk Malaysia serta membantu dan memberi penghargaan kepada negara-negara yang menunjukkan usaha pencegahan rasuah yang serius,” kata Abu Kassim.

Ali juga merupakan presiden IAACA, sebuah organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh ketua-ketua entiti pencegahan rasuah dunia.

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah oleh ROLACC tahun lalu bagi acara penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pencegahan Rasuah Sheikh Tamim Hamad Al Thani sebagai menghargai usaha bersungguh-sungguh negara ini memerangi rasuah, katanya.

“Malaysia dipilih sebagai lokasi ketiga selepas Vienna dan Geneva atas kecemerlangan rakyat negara ini memerangi rasuah,” kata Abu Kassim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.