Percepat draf RUU Sumbangan Politik untuk dibentang Oktober ini, kata Wan Junaidi

Percepat draf RUU Sumbangan Politik untuk dibentang Oktober ini, kata Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, draf itu perlu dipercepatkan supaya sesi libat urus boleh diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, RUU Sumbangan Politik wajar dilaksanakan dengan segera.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa draf Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik disediakan secepat mungkin supaya ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Katanya, draf itu perlu dipercepatkan supaya sesi libat urus boleh diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa disediakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Beliau berkata, satu memorandum dijangka dikemukakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini.

“Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, satu perbincangan sudah diadakan berkaitan RUU itu antara GIACC, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Suruhanjaya Syarikat (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).

Katanya, antara perkara dasar penting yang dibincangkan adalah penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini.

Beliau turut mengarahkan GIACC memperhalusi perkara dasar itu, manakala BHEUU dan Jabatan Peguam Negara menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh diberikan pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.

Selain itu, katanya, analisa perbandingan pemakaian undang-undang sama dari negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras, selain menyelaraskan RUU itu dengan undang-undang sedia ada di bawah JPPM dan SSM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.