Ucapan benci: Pihak berkuasa dibidas tidak tegas terhadap pemimpin politik, agama

Ucapan benci: Pihak berkuasa dibidas tidak tegas terhadap pemimpin politik, agama

TI-Malaysia ingin melihat undang-undang yang ketat sehingga ahli politik dan pemimpin agama akan berfikir dua kali sebelum membuat kenyataan perkauman.

Seorang pemandu lori didakwa mengeluarkan komen berbaur provokasi di Facebook. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ancaman keharmonian kaum baru-baru ini mendorong gesaan kepada pembaharuan undang-undang yang tegas terhadap ucapan kebencian.

Bekas presiden Transparency-International Malaysia, Akhbar Satar, memberitahu FMT beliau ingin melihat undang-undang yang ketat sehingga ahli politik dan pemimpin agama akan berfikir dua kali sebelum membuat kenyataan perkauman.

Beliau berkata kerajaan tidak perlu membuat undang-undang baru terhadap ucapan kebencian kerana seksyen yang berkaitan dengan Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia boleh diperketatkan.

Penguatkuasaan undang-undang itu mesti sama ketat, katanya, sambil menyatakan tindakan pihak berkuasa terhadap kenyataan perkauman baru-baru ini kelihatan hanya diarahkan kepada orang awam.

Rabu lalu, seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengeluarkan komen berbaur provokasi. Beberapa pengguna media sosial lain yang turut dikenakan pertuduhan yang sama tahun ini.

“Kebanyakan tindakan kerajaan tidak konsisten dan mungkin dilihat sebagai tidak ikhlas atau bermotifkan politik,” kata Akhbar.

Beliau berkata keengganan jelas untuk mengambil tindakan terhadap tokoh politik dan agama memberikan gambaran Pakatan Harapan tidak menunaikan janji untuk menghormati kedaulatan undang-undang, bahawa ia adalah selektif dalam menyiasat kesalahan dan mengambil tindakan undang-undang.

Akhbar Satar.

Beliau bercakap mengenai kemenangan gabungan parti itu pada pilihan raya tahun lalu yang mengumumkan Malaysia baru akan diperintah dengan adil dan telus.

Beliau berkata rakyat berpendapat negara itu akan ditadbir oleh negarawan yang mempunyai kepentingan terhadap generasi akan datang.

“Tetapi apa yang kita dapatkan adalah ahli politik yang pedulikan jawatan mereka,” katanya, mendakwa pemimpin di Putrajaya tidak bersuara kerana takut menyerang ahli politik lain dan sesetengah pihak lain.

Akhbar berkata beliau percaya hubungan kaum di negara itu “masih terkawal” tetapi menambah beliau bimbang situasi buruk akan berlaku jika tiada tindakan diambil terhadap ahli politik penyangak.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago juga menyeru penguatkuasaan undang-undang itu, mengatakan ini akan menjadikan rakyat merasa yakin tiada masyarakat tertentu mempunyai kelebihan berbanding yang lain.

Charles Santiago.

Beliau menggesa kerajaan mengetuai dalam mengubah arah wacana politik semasa dengan memberi tumpuan kepada mewujudkan pekerjaan, meningkatkan tahap gaji dan meningkatkan kualiti hidup dan pendidikan.

Beliau berkata terdapat hubungan antara ketegangan kaum dan gaji.

“Apabila rakyat rasa mereka tidak dapat menghidangkan makanan di atas meja, ketegangan meningkat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.