Perbicaraan kes bunuh CEO Cradle Fund bermula hari ini

Perbicaraan kes bunuh CEO Cradle Fund bermula hari ini

Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pada 12 Mac, bekas eksekutif kanan MyIPO, Samirah Muzaffar dan 2 remaja lelaki didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan.
SHAH ALAM:
Prosiding perbicaraan kes pembunuhan ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan bermula hari ini, di Mahkamah Tinggi di sini.

Perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan didengar di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman, bermula kira-kira pukul 9 pagi.

Kes yang menjadi tumpuan masyarakat itu sepatutnya memulakan prosiding perbicaraan pada Selasa lepas, tetapi ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan kerana terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 12 Mac lepas, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan 2 remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Salim Soib@Hamid dijangka memanggil kira-kira 60 saksi sepanjang perbicaraan itu.

Samirah diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.