
Siasatan mendapati dua mangsa itu ditetak ketika berada di sebuah premis perdagangan oleh beberapa suspek, dalam kejadian lebih kurang pada 10.20 malam.
“Salah seorang mangsa melarikan diri dan disahkan meninggal dunia dalam sebuah premis lain kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
“Seorang lagi mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital,” kata Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, dalam kenyataan.
IPD Klang Selatan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.50 malam, mengatakan terdapat orang cedera akibat pergaduhan.
Menurut Cha, mangsa yang meninggal dunia adalah warga tempatan berusia 36 dan 38 tahun, dan kedua-duanya mempunyai sekurang-kurangnya satu rekod jenayah lampau.
Polis sedang mengenal pasti suspek terlibat, dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk membantu siasatan, dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di 03-33762222.
Satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.