Aktiviti penambakan di Pantai Lido mungkin punca ikan mati

Aktiviti penambakan di Pantai Lido mungkin punca ikan mati

Dapatan awal tidak menemukan sebarang sumber industri yang boleh dikaitkan sebagai punca kejadian, kata Exco Tan Chen Choon.

(Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Kematian ikan-ikan di tali air bersebelahan Hospital Sultanah Aminah (HSA) disebabkan faktor cuaca dan gangguan sistem pengaliran yang berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penambakan di perairan Pantai Lido.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, dapatan awal itu merupakan hasil tinjauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang turut disertai Jabatan Perikanan Malaysia Johor Bahru.

Hasil tinjauan mendapati bacaan in-situ air di lokasi mencatatkan paras oksigen terlarut terlalu rendah iaitu sekitar 1.2 part per million (ppm) sehingga menyebabkan kematian tersebut.

“Merujuk kepada dapatan awal tersebut, disimpulkan kematian ikan-ikan berkenaan berdasarkan faktor cuaca dan gangguan sistem pengaliran yang berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penambakan di perairan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dapatan awal yang dilakukan itu juga tidak menemukan sebarang sumber industri yang boleh dikaitkan sebagai punca kejadian.

Sehubungan itu, Tan mengarahkan JAS untuk menyemak semula Laporan Penilaian Impak Persekitaran (EIA) bagi projek penambakan itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut dan menemukan penyelesaian yang tuntas dalam mengawal insiden sedemikian daripada berlanjutan.

“Saya memandang serius aduan yang disalurkan kepada JAS berhubung penemuan ikan-ikan mati di tali air berkenaan pada 11 pagi tadi.

“Penemuan itu kali kedua dikesan berlaku (selepas kali pertama) pada 28 Ogos lepas di Pantai Lido,” katanya.

Terdahulu, penemuan berkenaan turut tular di laman sosial Facebook yang dirakam oleh seorang individu yang dalam rakaman terbabit jelas menunjukkan penemuan ikan-ikan yang mati dan timbul di permukaan air berdekatan HSA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.