Tiada injunksi, penambakan diteruskan, kata Chow

Tiada injunksi, penambakan diteruskan, kata Chow

Ketua menteri Pulau Pinang berkata kerja-kerja projek Pulau Silikon telah dimulakan selepas semua kelulusan diperoleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menghadiri pesta tanglung di George Town petang tadi.
GEORGE TOWN:
Kerja-kerja penambakan untuk projek Pulau Silikon bernilai RM8.5 bilion telah dimulakan kerana tiada injunksi mahkamah yang difailkan terhadapnya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

“Tiada injunksi terhadap kerajaan negeri untuk meneruskan kerja kerana kita telah mendapat semua kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pesta tanglung di sini.

“Jadi dengan kelulusan yang diperolehi, kita mulakan kerja-kerja itu, melainkan ada yang mendapat injunksi mahkamah untuk menghalang kita.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa kerja-kerja penambakan telah dimulakan walaupun rayuan telah difailkan oleh nelayan untuk menghentikan projek penambakan mega itu.

Pada 23 Mei, Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail memfailkan notis rayuan kepada Lembaga Rayuan alam sekitar untuk mencabar kelulusan bersyarat diberikan kepada laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang disediakan untuk projek itu.

Kelulusan bersyarat untuk projek itu telah diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 11 April.

Pada 1 Sept, Chow mengumumkan bahawa laporan pelan pengurusan alam sekitar untuk projek Pulau Silikon telah diluluskan, dan kerja-kerja persediaan untuk projek itu telah bermula pada hari berkenaan.

Masyarakat nelayan dan beberapa kumpulan alam sekitar telah menentang projek pulau itu kerana bimbang berlakunya kerosakan besar ke atas ekosistem marin di perairan selatan Pulau Pinang dan memberi kesan teruk terhadap mata pencarian mereka.

Projek itu telah dikecilkan daripada projek tiga pulau yang meliputi seluruh perairan selatan kepada projek satu pulau berikutan campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.