
Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata beliau sudah mengarahkan semua cawangannya menurunkan produk sedemikian kerana ia tidak menggalakkan penggunaan minyak sawit.
“Ia adalah pemasaran negatif. Kita tidak patut membenarkan sesiapa pun berbuat demikian di negara kita.
“Kita rakyat Malaysia, kita perlu sokong minyak sawit,” katanya pada pelancaran kempen “Sayangi Sawitku” hari ini.
Ameer menyifakan pengeluar menggunakan label “Bebas Minyak Sawit” sebagai tidak bertanggungjawab.
Katanya, pasar rayanya mengambil inisiatif itu selepas pengumuman semalam oleh kerajaan yang sedang mempertimbangkan larangan ke atas produk anti-minyak sawit di pasaran domestik.
Di negara jiran Indonesia, produk makanan tempatan dan import dengan label “Bebas Minyak Sawit” atau “tiada minyak sawit” dikeluarkan dari kedai runcit sejak bulan lalu.
Indonesia yang merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, turut berjanji melakukan tindakan balas terhadap sebarang dasar yang akan melumpuhkan pengeksportan komoditi terbesarnya.
Sebelum ini, Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata cadangan melarang produk berlabel anti-minyak sawit disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Ia di bawah bidang kuasa kementerian itu untuk mengkaji jika kita boleh menurunkan produk anti-minyak sawit dari rak kita.
“Saya sudah kemukakan cadangan ini kepada menteri.”