
Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata, penetapan tarikh perbicaraan baru bermula Jumaat ini dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk prosiding dijalankan pada bulan ini hingga akhir Disember ini.
“Perbicaraan akan dimulakan 9.00 pagi,” kata beliau.
Tarikh-tarikh baru yang ditetapkan bagi perbicaraan kes pembunuhan itu bermula Jumaat ini pada 13, 20 dan 27 Sept; 1 hingga 4 Okt; 8, 15 dan 29 Nov serta 2 hingga 31 Dis.
Sebelum ini, mahkamah sama menetapkan perbicaraan kes pembunuhan Nazrin bermula 3 Sept (semalam) hingga 15 Sept dan 23 Sept hingga 4 Okt ini.
Bagaimanapun, perbicaraan tidak dimulakan semalam susulan pihak pembelaan memohon untuk menangguhkannya kerana sedang terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pihak pembelaan yang terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu adalah peguam, Muhammad Shafee Abdullah mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili 2 remaja lelaki yang turut didakwa dalam kes pembunuhan itu.
Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan 2 remaja lelaki, masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4.00 pagi pada 14 Jun 2018.
Pasukan pendakwaan kes pembunuhan itu diketuai Salim Soib @ Hamid, yang juga pengarah pendakwaan Selangor bersama-sama Wan Shahida, Noor Mawarni Halim dan Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman.
Samirah dilihat hadir berselendang hitam pada prosiding sebutan kes itu namun hanya seorang daripada remaja terbabit berada di mahkamah.
Peguam, S Suresh memberitahu mahkamah bahawa seorang lagi remaja yang dituduh dalam kes pembunuhan itu tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana sedang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).