Tak sihat boikot produk kerana kaum dan agama, kata Anwar

Tak sihat boikot produk kerana kaum dan agama, kata Anwar

Presiden PKR itu berkata, ini khasnya dalam kes masyarakat berbilang bangsa dan budaya.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ni memberi amaran terhadap tindakan memboikot produk berdasarkan kaum dan agama yang disifatkannya tidak sihat khasnya dalam masyarakat berbilang bangsa dan budaya.

Bercakap di luar satu program di sini, katanya, rakyat boleh membuat keputusan sama ada sesuatu produk itu halal atau sebaliknya.

“Tetapi mempromosikan boikot produk bukan Islam ialah (tindakan) penuh kebencian dan tidak sihat.

“Sebagai umat Islam, saya rasa penting untuk kita menghasilkan produk baik yang diterima semua, tetapi ada produk diperlukan umat Islam yang dihasilkan orang Cina.

“Jadi, konotasi perkauman, bagi saya adalah tidak sihat dalam masyarakat berbilang bangsa dan budaya di dunia .”

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera perlu dihentikan kerana ia tindakan golongan berfikiran cetek yang tidak akan mendatangkan kesan dan hanya mencetuskan kemarahan kaum lain.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula menyeru PAS dan Umno membantu menghentikan kempen itu yang tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Katanya, kedua-dua parti itu patut membantah kempen itu jika mereka tidak memusuhi golongan bukan Islam dan Melayu.

Bagaimanapun, PAS mempertahankan kempen itu dengan berkata, kempen sokong produk Islam akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas dan menjadikan mereka lebih berdaya saing.

Ditanya jika tindakan disiplin akan diambil terhadap Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kerana tidak menghadiri mesyuarat Majlis Presiden, Anwar berkata, beliau tidak pasti jika Azmin memboikot mesyuarat itu.

“Tetapi beliau tidak pernah hadir. Saya sudah menasihatkan beliau untuk hadir mesyuarat itu.”

Mengenai laporan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin meminta mesyuarat perdamaian antara puak dalam parti itu diadakan, Anwar berkata, beliau patut menghadiri mesyuarat Majlis Presiden supaya isu itu boleh dibincangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.