Penunggang Gojek kumpul wang biaya bos teksi Malaysia ke Jakarta mohon maaf

Penunggang Gojek kumpul wang biaya bos teksi Malaysia ke Jakarta mohon maaf

Lebih 400 penunggang Gojek berhimpun secara aman di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hari ini untuk membantah kenyataan Shamsubahrin Ismail yang dianggap menghina mereka dan Indonesia.

Penunggang Gojek mahu Shamsubahrin Ismail ke Jakarta untuk memohon maaf secara terbuka kepada mereka secara bersemuka. (Gambar AFP)
JAKARTA:
Penunggang Gojek mengumpul wang ketika mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hari ini, untuk membiayai perbelanjaan pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail ke negara itu bagi memohon maaf secara terbuka.

Lebih 400 penunggang Gojek berhimpun secara aman di luar kedutaan itu bagi membantah kenyataan Shamsubahrin dalam satu video viral di Indonesia baru-baru ini yang dianggap menghina penunggang Gojek dan negara itu.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Jurucakap penunggang Gojek, Theresia Ismiyanti berkata mereka mahu Shamsubahrin ke Jakarta dan memohon maaf secara terbuka kepada penunggang Gojek.

Dalam demonstrasi itu, mereka mengumpul wang dalam kalangan penunggang Gojek untuk diberikan kepada Shamsubahrin bagi membiayai kosnya ke Jakarta.

Pada 27 Ogos lalu, Gabungan Aksi Roda Dua Indonesia (Garda) dilaporkan bercadang mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hari ini, jika Shamsubahrin tidak membuat permohonan maaf terbuka.

Keesokannya, Shamsubahrin memohon maaf dan berkata beliau tidak berniat menghina penunggang Gojek serta Indonesia.

“Indonesia tetap di hati saya dan begitu juga rakyat Indonesia.”

Garda dilaporkan menerima permohonan maaf Shamsubahrin pada 30 Ogos lalu.

Ketua Garda, Igun Wicaksono berkata mereka menyerahkan “surat penerimaan permohonan maaf” itu kepada Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam pertemuan dengan pegawai kedutaan yang diketuai Atase Polis Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.