Pasar raya lapor polis difitnah tak jual produk Islam, Bumiputera

Pasar raya lapor polis difitnah tak jual produk Islam, Bumiputera

Pasar raya di Johor Bahru memberi tempoh 48 jam kepada pemilik Facebook yang membuat fitnah untuk menarik balik dakwaan itu dan memohon maaf.

Antara produk harian pengguna yang disasarkan dalam kempen beli barangan orang Islam dan Bumiputera. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) semalam membuat laporan polis terhadap beberapa akaun Facebook yang dipercayai menyebarkan fitnah mendakwa pasar raya itu tidak menjual produk Islam dan Bumiputera.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam, yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada 1.15 tengah hari semalam, berkata pihaknya mengambil serius tuduhan fitnah terhadap Econsave di Facebook 2 pihak berkenaan.

“Econsave merupakan salah satu pasar raya yang banyak menjual produk-produk Bumiputera dan Muslim seperti kicap Tamin, kicap Adabi, kicap Kipas Udang, produk Faiza, kicap Enaq, minyak Saji dan banyak lagi produk-produk lain.

“Selain itu, pihak Econsave juga menyertai program sesi padanan perniagaan anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang memberi platform kepada usahawan-usahawan bertemu dengan pasar raya-pasar raya besar dan peruncitan untuk memasarkan produk mereka,” kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, pihaknya turut memberi tempoh 48 jam kepada kedua-dua akaun Facebook itu untuk menarik balik dakwaan itu serta memohon maaf atas maklumat palsu yang ditularkan di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan laporan polis dibuat.

“Ada terima 1 laporan dan ia dirujuk ke pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.