
Bertempat di padang Victoria Institution, sekolah menengah tertua di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, 2 pemimpin beragama Islam dan Kristian mengadakan perlawanan amal yang turut disertai pemimpin agama lain termasuk Hindu, Sikh dan Bahai.
Ia turut mendapat sokongan legenda bola sepak negara, Santokh Singh, Soh Chin Aun, K Gunalan dan N Thanabalan.
Pengasas Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia serta Christians for Peace and Harmony Malaysia, Jason Leong berkata, pihaknya tidak mempelawa pemimpin politik kerana bimbang program itu akan dipolitikkan parti lawan.
“Sebelum ini sudah banyak program yang dipolitikkan, jika kita bawa pemimpin dari sebelah pihak, sebelah pihak lagi akan mula mempolitikkan isu. Apa yang kami lakukan adalah dari bawah ke atas, ini adalah program rakyat yang tidak ada protokol.
“Legenda bola sepak turut datang. Inilah keindahannya, tidak ada perbalahan politik, kadangkala terlalu banyak isu politik yang dimainkan dalam negara.

“Apabila di padang, tidak ada siapa yang peduli dengan pangkat yang anda ada, semuanya bermain untuk menang,” katanya kepada FMT.
Leong berkata, perpaduan ialah aset Malaysia yang boleh dirosakkan oleh isu perkauman atau agama.
“Jangan cakap isu yang boleh memecahkan kita. Ini adalah aset dan tidak seharusnya kita benarkan perpaduan ini dikoyakkan. Ini juga adalah mesej kepada pemimpin politik. Jangan lupa, mereka juga mewakili rakyat, jadi lakukanlah yang terbaik untuk negara.”
Baru-baru ini, beberapa pihak mendesak kerajaan mengharamkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong kerana membantah pengenalan tulisan khat di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan atas alasan “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” menunjukkan tulisan itu digunakan sebagai medium untuk menyebarkan ajaran Islam.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan pada 14 Ogos lalu dilaporkan berkata, pengenalan tulisan jawi bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 diteruskan di sekolah kebangsaan, manakala sekolah vernakular perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, Kabinet menetapkan pengenalan seni khat digantikan tulisan jawi dan ia kekal dimuatkan dalam 3 muka surat buku teks bahasa Melayu serta tidak dinilai dalam peperiksaan.
Satu lagi isu ialah Naik yang dipanggil ke Bukit Aman baru-baru ini selepas beratus laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya mendakwa penganut Hindu lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendran Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad dan kaum Cina di Malaysia ialah “tetamu lama”.
Naik kemudiannya memohon maaf terhadap salah faham yang timbul, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.
Presiden Global Unity Network, Shah Kirit Kakulal Govindji yang sering memperjuangkan isu agama Islam menyalahkan pemimpin politik dengan agenda tersendiri yang cuba menyemai persepsi perpaduan negara semakin terhakis.
“Suhu perkauman sekarang ini macam hendak mendidih. Kalau kita tidak buat apa-apa, jangan haraplah keamanan hendak dikecapi. Keharmonian ini harus dikekalkan, seperti bermain bola di padang, tidak ada sesiapa yang bergaduh mengenai kaum dan agama.
“Mereka hanya bermain dan jika anda lihat, adakah anda nampak mereka menghantar bola kepada sesuatu kaum saja? Kita rakyat Malaysia tidak ada masalah, cumanya suhu tadi diwujudkan dan ditimbulkan untuk persepsi saja,” kata penganjur perlawanan amal itu.
Thurai Chantheran yang merupakan pemimpin Malaysian Organisation For Hindu Knowledge, Science, Heritage and Art berkata, rakyat Malaysia memahami dan menghormati perbezaan sesama kaum.
“Kita sebagai rakyat Malaysia boleh bercakap mengenai apa saja, termasuk makanan, budaya dan juga memberi pandangan berkaitan agama. Kita boleh belajar antara satu sama lain, tetapi pemimpin politik yang berusaha memecah belahkan kita.
“Tetapi, melalui perlawanan bola sepak ini, kita boleh tunjukkan kepada pemimpin politik dan berharap mereka belajar daripada kita. Hal ini kerana orang Malaysia memang terkenal dengan kehidupan yang meriah, kita berbeza namun kita menerima perbezaan itu.”
Santokh menyokong perlawanan amal itu kerana ia mampu mengembalikan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Beliau berharap rakyat akan mencontohi nostalgia perpaduan yang pernah ditunjukkan bekas pemain bola sepak negara, Mokhtar Dahari, Soh dan R Arumugam.
“Kita tidak boleh samakan politik dan bola sepak. Ia memang tidak boleh dicampur adukkan. Saya sendiri memang tidak tahu apa itu makna politik. Saya hanya tahu mengenai sukan, bola sepak dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Menerusi bola sepak, perpaduan di padang antara aspek penting. Anda tidak bermain berseorangan untuk menang, sebaliknya bermain secara berpasukan untuk mencapai kejayaan. Buktinya, lihat pada 1972 dan 1980-an.”