Bekas jaguh sukan tak setuju Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

Bekas jaguh sukan tak setuju Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

Olimpian Karu Selvaratnam dan lagenda bola sepak negara Santokh Singh bimbang kesan kewangan dan ekonomi negara.

Karu Selvaratnam dan Santokh Singh, berkata ekonomi negara ‘tidak patut dikorbankan’ semata-mata untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026.
PETALING JAYA:
Dua jaguh sukan negara menyuarakan tentangan andai negara menganjurkan Sukan Komanwel 2026 sambil mengingatkan kerajaan kesan kewangan dan ekonomi.

Olimpian, Karu Selvaratnam berkata tidak wajar untuk negara menerima tawaran penganjuran mengambil kira keadaan ekonomi negara dan kesusahan didepani rakyat ketika ini.

“Hutang negara terlalu tinggi. Sesiapa yang waras akan segera menolaknya. (Kerajaan sepatutnya) menggunakan wang pada saluran betul bagi manfaat rakyat,” katanya kepada FMT.

Karu mengulas demikian susulan pengumuman pada Isnin oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bahawa Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia peluang menganjurkan sukan itu, menggantikan Victoria, Australia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata Jemaah Menteri akan memutuskan tawaran dikemuka, yang turut melibatkan pelaburan £100 juta (RM602 juta) daripada CGF.

Karu, yang merupakan sebahagian jawatankuasa penganjur Sukan Komanwel 1998, turut meluahkan kekecewaannya selepas mendapat tahu kerugian kewangan signifkan kesan pengajuran itu.

“Bertahun berlalu, lebih banyak berita buruk mengenai status kewangan negara muncul. Bagaimana ia berlaku kekal misteri dan tidak sedap didengar.

“Sejumlah besar wang pembayar cukai terbazir, dan akaun secara ragu ditutup,” katanya.

Lagenda bola sepak negara, Santokh Singh juga tidak bersetuju Malaysia menganjurkan acara tersebut, sambil memetik akaun kewangan yang belum diselesaikan sejak penganjuran pada edisi 1998, selain pembaziran wang pembayar cukai.

“Sukan Komanwel tidak lagi berprestij seperti dulu, dan kita tidak sepatutnya mengorbankan ekonomi negara untuk itu,” katanya.

Pada 2004, menteri belia dan sukan ketika itu, Azalina Othman Said, mengumumkan penutupan akaun Sukom 98 dengan mendedahkan kerugian RM11.6 juta.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Sukom 98, Nik Mahmud Nik Yusuf, pada 2010, mendedahkan syarikat berkenaan tidak dapat menutup akaunnya susulan kes mahkamah dan memerlukan masa untuk menyelesaikan hutangnya.

Dalam pada itu, Shahrudin Ali, bekas pelari pecut yang pernah beraksi dua kali pada Sukan Olimpik, berkata menerima tawaran CGF memberi manfaat signifikan kepada sukan Malaysia.

Katanya, dana £100 juta tersedia menjadikan tiada persiapan berlebihan diperlukan.

“Saya yakin kemudahan (sukan) lebih daripada mencukupi untuk menjadi hos sukan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.