Masalah kesihatan mental perlu ditangani semua pihak, kata pensyarah

Masalah kesihatan mental perlu ditangani semua pihak, kata pensyarah

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2% rakyat Malaysia mengalami tekanan mental, dengan Sabah mencatatkan 42.9% berbanding Kuala Lumpur (39.8%) dan Kelantan (39.1%).

Pensyarah di Universiti Malaysia Sabah Nicholas Pang Tze Ping berkata, masyarakat perlu mengalih tumpuan daripada penyakit mental kepada mental yang sihat.
KOTA KINABALU:
Seorang pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menyarankan semua pihak agar menangani masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat dengan mengesan dan mencegah masalah itu di peringkat awal.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS Nicholas Pang Tze Ping berkata, isu kesihatan mental boleh terdiri daripada tekanan ringan sehingga penyakit mental yang teruk dan terdapat banyak intervensi psikologi yang sangat berkesan yang boleh digunakan untuk membantu orang mengatasi keadaan tertekan.

“Ini akan membantu kita sebagai anggota masyarakat mengalih tumpuan daripada penyakit mental kepada mental yang sihat.

“Daripada hanya bertindak terhadap orang yang mengalami masalah kesihatan mental, lebih elok sekiranya kaedah yang ada digunakan bagi memupuk mental yang sihat dalam kalangan masyarakat.” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2% rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental dan Sabah mencatatkan 42.9% rakyatnya mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental berbanding 39.8% di Kuala Lumpur dan 39.1% di Kelantan.

“Oleh itu adalah sangat penting kita tidak hanya fokus kepada angka dan menumpukan tenaga untuk sama-sama berusaha menangani isu ini,” katanya dan menambah bahawa ini memerlukan kajian mendalam oleh universiti dan sektor penjagaan kesihatan.

Nicholas, yang juga timbalan pengerusi Persidangan Kualiti Hidup Borneo 2019 berkata, sebagai sebuah institusi akademik UMS berikrar untuk menjadi kumpulan pemikir yang bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan projek kesihatan mental dan menjalankan penyelidikan yang berkualiti seperti yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.