Filem patriotik wajib ditonton sempena bulan kemerdekaan

Filem patriotik wajib ditonton sempena bulan kemerdekaan

Generasi muda perlu dipupuk dengan semangat kemerdekaan dan salah satu caranya ialah melalui filem yang berunsurkan semangat dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Sempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, salah satu cara lain untuk generasi kini lebih mengenali sejarah dan latar belakang penubuhan Malaysia ialah melalui filem-filem patriotik yang pernah dihasilkan oleh penggiat seni.

Selain daripada dapat menunjukkan rasa cintakan negara, penonton filem-filem patriotik juga sebenarnya boleh belajar sesuatu dan mencontohi watak-watak yang ditampilkan dalam filem tersebut.

Contohnya, semangat yang tinggi untuk memperjuangkan sesuatu yang boleh memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

Berikut senarai filem-filem patriotik yang anda boleh layan untuk menambahkan ilmu mengenai sejarah Malaysia dan dalam masa yang sama, boleh kenal tokoh-tokoh yang pernah berjuang demi Malaysia.

1. Paskal

Sebelum filem Paskal ditayangkan pada tahun 2018, tak ramai yang tahu apa sebenarnya Paskal.

Paskal merupakan sebuah pasukan elit daripada Tentera Laut Diraja Malaysia, juga merupakan pasukan elit nombor 1 di Malaysia dan mempunyai senjata dan kelengkapan yang moden.

Selain daripada barisan pelakon yang berjaya memainkan peranan masing-masing dalam filem ini, aset ketenteraan negara juga ditunjukkan dalam filem ni termasuklah misi-misi yang dijalankan, pakaian seragam, senjata dan kenderaan.

Paling penting sekali, filem Paskal diinspirasikan daripada kisah benar.

2. Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong ditayangkan pada tahun 1981 dan berjaya menang lebih daripada 7 anugerah di Festival Filem Malaysia pada tahun 1982.

Hasil arahan dan lakonan daripada pelakon legenda Malaysia, Allahyarham Jins Shamsudin, filem Bukit Kepong mengisahkan mengenai kisah benar yang berlaku pada tahun 1950, Balai Polis Bukit Kepong di Johor yang diserang oleh komunis sehingga melibatkan pertumpahan darah yang mengorbankan nyawa 14 orang anggota polis.

Pada tahun 2015, filem Bukit Kepong dalam versi definisi tinggi (HD) ditayangkan di Malaysia.

3. Leftenan Adnan

Filem yang mengisahkan mengenai kisah benar seorang pahlawan daripada Rejimen Askar Melayu iaitu Leftenan Adnan Saidi yang mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh pihak Jepun.

Filem Leftenan Adnan dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat tanah air antaranya Hairie Othman, Umie Aida, Faizal Hussein, Rambo Chin dan diarahkan oleh Aziz M. Osman.

4. Ola Bola

Bukan filem mengenai peperangan, tapi filem Ola Bola memberi mesej perpaduan antara kaum di Malaysia demi tanah air tercinta yang melibatkan pasukan bola sepak Malaysia bersaing untuk layak ke Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Walaupun watak dalam filem Ola Bola tak menggunakan nama sebenar pemain-pemain yang pernah mewakili pasukan bola sepak Malaysia di Olimpik Moscow, tapi setiap pemain yang dilakonkan sebagai watak utama dalam filem ni menggambarkan pemain legenda Malaysia iaitu Soh Chin Aun, Hassan Sani, R. Arumugam dan pengulas sukan tersohor di Malaysia, Rahim Razali.

5. Pulang

Filem Pulang merupakan kisah benar mengenai percintaan Othman dan Che Tom yang berlaku semasa Tanah Melayu masih lagi berjuang untuk merdeka daripada dijajah oleh pihak Jepun.

Menampilkan jalan cerita yang lain daripada filem-filem patriotik yang lain, filem Pulang mengajar dan menunjukkan kepada penonton macam mana seorang lelaki yang cuba mengubah nasib keluarga sehingga terpisah selama 60 tahun, semasa negara tercinta dijajah oleh pihak Jepun.

Sumber: thelaki.com.my

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.