
FMT difahamkan Arif Komis, 43, dan keluarganya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Difahamkan, kerajaan Turki turut mendakwa Komis terbabit dalam kumpulan Gulen, sebuah gerakan sosial berasaskan kepercayaan yang diilhamkan ajaran pendakwah Islam dari Turki yang hidup dalam buangan, Fethullah Gulen.
Komis yang merupakan guru kimia di Sekolah Antarabangsa Time, ditahan polis Malaysia pada 28 Ogos lalu.
Dalam respons di Twitter, jurucakap Human Rights Watch (HRW) Asia, Phil Robertson mengkritik Putrajaya melanggar hak asasi pencari suaka.
“Di mana masyarakat sivil Malaysia untuk melindungi warga Turki ini yang menjadi kebimbangan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian) dan keluarganya? Kenapa kerajaan Pakatan Harapan melanggar hak pelarian dengan cara ini? Kenapa seorang guru sekolah dilayan dengan begitu hina?” soal Robertson.
Gerakan Gulen didakwa merancang untuk menggulingkan kerajaan Turki menerusi rampasan kuasa yang gagal pada 2016, dengan puluhan ribu orang ditahan dan ribuan lagi penjawat awam dipecat.
Malaysia antara negara yang memenuhi permintaan Turki untuk mengusir warganegaranya yang mencari suaka di negara lain.
Pada 2017, Malaysia dikecam pelbagai kumpulan hak asasi manusia kerana menghantar pulang 3 warga Turki atas permintaan Ankara.
Turgay Karaman, Ismet Ozcelik dan Ihsan Aslan dihantar pulang ke Turki, walaupun keluarganya mengemukakan rayuan.
Awal tahun ini, polis Malaysia mengusir 4 warga Mesir yang dikehendaki rejim tentera di Kaherah.
Nasib Mohamed Fathy Eid, Abdallah Mahmoud Hisham, Abdelrahman Abdelaziz Ahmed dan Azmy al-Sayed Mohamed masih tidak diketahui, dengan HRW berkata mereka “berisiko tinggi diseksa dan dilayan dengan teruk di Mesir”.