AirAsia gesa MAHB kaji semula, ganti sistem operasi lapangan terbang

AirAsia gesa MAHB kaji semula, ganti sistem operasi lapangan terbang

Pada Isnin, MAHB berkata, ia tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian itu disebabkan oleh perbuatan berniat jahat.

Timbalan CEO Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar.
KUALA LUMPUR:
Sistem pengoperasian di terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2, yang baru-baru ini terganggu hampir 4 hari dan menyebabkan kelewatan puluhan penerbangan, perlu dikaji semula atau digantikan dengan yang lebih baik.

Timbalan ketua pegawai eksekutif (Teknologi dan Digital) Kumpulan AirAsia Aireen Omar berkata, sistem itu yang dianggapnya “sudah berusia dan amat mahal’ patut dinaik taraf dengan segera bagi membolehkan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka dan juga negara.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu sebelum ini telah mencadangkan supaya sistemnya yang didakwanya kurang mahal dan “jauh lebih kompeten daripada yang digunakan ketika ini di semua lapangan terbang di Malaysia”, tetapi ditolak oleh pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Mereka (MAHB) minta kami menggunakan sistem mereka dan kami tahu sistem mereka adalah ‘kurang kompeten’ tetapi mereka memaksa kami menggunakan sistem mereka.

“Jadi saya fikir (gangguan baru-baru ini) menunjukkan MAHB benar-benar perlu lakukan sesuatu dan mendengar pandangan pelanggan mereka supaya mereka boleh memberikan perkhidmatan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen penukaran mata 2 hala AirAsia BIG dan Petronas Mesra di sini, semalam.

Gangguan sistem berkenaan menjejaskan beberapa sistem di lapangan terbang seperti rangkaian WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Pada Isnin, MAHB berkata, ia tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian itu disebabkan oleh perbuatan berniat jahat.

Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa MAHB menyiasat punca sebenar kegagalan itu, sambil menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku kerana sistem yang sama digunakan di lapangan terbang lain di dalam negara.

Dilaporkan MAHB membuat laporan polis hari ini berhubung gangguan itu dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah KLIA Zulkifli Adamsah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.