
Dalam kejadian pada Isnin itu, mayat wanita berkenaan ditemui 2 pekerja syarikat telekomunikasi di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 27 manakala mayat suaminya ditemui semalam oleh orang awam berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah.
Mangsa wanita itu kemudian dikenal pasti sebagai Tan Siew Mee, 52, manakala mayat lelaki itu, Lim Ah Kee, 79 tahun.
Ketua Polis Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua suspek berumur 19 dan 24 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli-belah itu ditahan di Subang Jaya dan Kota Kemuning petang semalam.
Siasatan awal mendapati kedua-dua kes pembunuhan itu berlaku antara tengah malam Jumaat lepas hingga awal pagi Sabtu di sebuah unit kondominium yang disewa pasangan itu di Subang Jaya.
“Kedua-dua lelaki yang juga adik beradik itu menyewa bilik di unit kondominium yang sama dengan mangsa sejak 6 bulan lepas.
“Dalam kejadian pada Jumaat kira-kira pukul 10 malam itu, warga emas berkenaan dibunuh di ruang tamu menggunakan pisau lipat serta dikelar dan isterinya hanya mengetahui kejadian itu selepas pulang ke rumah sewa berkenaan sekitar 2.00 pagi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Baharudin berkata, berlaku sedikit kekecohan selepas Tan mengetahui suaminya dibunuh menyebabkan kedua-dua suspek bertindak menikam dan mengelar pula wanita berkenaan sehingga mati.
Katanya, suspek kemudian mengangkut beg berisi mayat kedua-dua mangsa menggunakan sebuah motosikal untuk dibuang ke dalam longkang di 2 lokasi berlainan di Seksyen 27.
“Polis juga menjumpai pisau milik suspek yang dipercayai digunakan untuk membunuh dan mengelar kedua-dua mangsa, dan kita percaya kes bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini sudah selesai dengan penangkapan suspek.
“Tindakan pantas Ibu Pejabat Polis Subang Jaya memudahkan proses tangkapan kedua-dua suspek yang cuba untuk melarikan diri selepas kejadian itu. Mereka kini ditahan selama 7 hari bermula hari ini,” katanya.
Beliau berkata, mayat pasangan itu masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan belum dituntut oleh mana-mana pihak.