
Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Jamaludin Ibrahim di taklimat pendapatan syarikat berkata perbincangan dengan Telenor mungkin mengambil masa 3 hingga 6 bulan, dengan sasaran perbincangan diselesaikan menjelang November.
“Kami mahu pastikan kami melindungi kepentingan nasional dan kakitangan kami. Itu tak bermakna ada masalah,” katanya.
Beliau optimis urusan itu akan berjaya.
“Ini M&A terbesar dalam 20 tahun di seluruh rantau kecuali Asia Utara. Ini besar, tidak pernah didengar. Ia bukan mengenai masalah, ia tentang kerumitan,” katanya.
Jamaludin berkata akan “secara amnya tiada perubahan” pada struktur pegangan saham dalam urusan itu, atau pada pelantikan pengurusan tertinggi.
Axiata dan Telenor pada Mei berkata mereka akan mulakan perbincangan untuk menjalankan suatu syarikat telekomunikasi gergasi milik bersama di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang akan memberi perkhidmatan kepada 300 juta pelanggan, kerana mereka mencari pertumbuhan dalam pasaran yang sentiasa sengit.
Reuters sebelum ini melaporkan sumber yang berkata gabungan itu akan bernilai AS$40 bilion termasuk hutang, menjadikan ia penggabungan rentas sempatan terbesar di Asia, kecuali di China dan Jepun.
Media Malaysia pada awal bulan ini melaporkan urusan itu mungkin dihentikan kerana pihak-pihak berkenaan tidak bersetuju dengan terma-termanya. Kedua syarikat mahu memuktamadkan perjanjian yang mengikat menjelang suku ketiga 2019.