
Menterinya, Tengku Zafrul Aziz, berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan kerana terdapat beberapa cadangan lain dikemukakan, antaranya pemerkasaan industri halal negara.
“Kita ingin perkasakan industri halal ini dengan memberi fokus kepada pembangunan halal serta tidak mahu ada pertindihan dari segi perdagangan halal.
“Selain itu, kita juga mahu Matrade lebih fokus pada perdagangan halal dari segi memberi akses kepada produk halal, pada masa sama memastikan HDC memberi lebih fokus pada pembangunan halal,” katanya kepada pemberita selepas ASEAN-GCC Economic Forum 2025, di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pula akan memfokuskan kepada pelaburan-pelaburan yang melibatkan industri halal.