
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, beliau berkata walaupun proses itu sedang berjalan, beberapa agensi di peringkat pusat perlu meluluskan penggabungan berkenaan sebelum ia boleh diteruskan.
“Banyak lagi proses yang perlu dilakukan. Kami perlu berbincang dengan semua agensi pusat.
“Kami baru sahaja selesai dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, dan minggu depan kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan, diikuti oleh Kementerian Ekonomi,” katanya selepas muncul dalam program Bernama TV ‘The Nation’, di mana beliau membincangkan topik keselamatan penumpang dalam penerbangan.
Norazman menegaskan keperluan untuk menyakinkan agensi-agensi itu bahawa penggabungan boleh dilaksanakan dengan jaya, dan proses itu akan dapat diteruskan secara sendiri tanpa bantuan luar.
CAAM peroleh hasil daripada yuran pandu arah udara, yang membiayai operasi pusat radar di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kami sudah melaksanakan semakan yuran dan caj bermula 1 Januari, dan ini akan menyediakan dana yang diperlukan untuk menyokong peralihan menjadi sebuah entiti bebas,” katanya.
Selain itu, beliau berkata caj pandu arah udara di Malaysia antara yang terendah di rantau ini sebelum ia disemak pada 2016.
“Caj kami mungkin masih lagi lebih rendah dari Thailand, tetapi kami menyediakan perkhidmatan yang sama. Semakan yuran hanya sekali sahaja pada 2016 dan pastinya tidak mencukupi; kami memerlukan tiga hingga empat kali semakan untuk setanding dengan rantau lain,” katanya.
Walaupun tarikh rasmi penggabungan akan diumumkan oleh menteri pengangkutan, Norazman berkata beliau beri tumpuan pada memastikan garis masa dipatuhi tanpa mengganggu industri penerbangan.
“Di pihak kami, kami telah mengusahakan kejuruteraan proses perniagaan sejak tahun lepas. Saya akan biarkan menteri mengumumkan tarikh berkenaan,” katanya.
Mengenai skim gaji selepas penggabungan, Norazman menekankan keperluan untuk menawarkan pampasan yang kompetitif kepada kakitangan teknikal yang berkelayakan (QTP), termasuk juruterbang, jurutera dan pengawal trafik udara.
“Kami perlu memastikan QTP dibayar setanding dengan nilai pasaran. Walaupun kami kini berada di bawah skim JPA, kami kini berusaha ke arah mencapai piawaian korporat,” katanya.
Penggabungan itu dijangka menyelaraskan rangka kerja pengawalseliaan penerbangan dan meningkatkan kecekapan operasi, seterusnya mengukuhkan daya saing sektor itu.
Ia susulan kelulusan Parlimen terhadap dua rang undang-undang (RUU) pada 30 Julai: RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.
Yang terakhir melibatkan pembubaran Mavcom dan pemindahan fungsinya kepada CAAM.
Model penggabungan ini juga digunakan dalam sektor pengangkutan udara global terkemuka, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.