Kerajaan rampas RM428,500 dari Akademi Pemuda di bawah Umno

Kerajaan rampas RM428,500 dari Akademi Pemuda di bawah Umno

Timbalan pendakwa raya memaklumkan mahkamah yang responden itu tidak membantah permohonan melucutkan hak wang berkenaan.

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan RM428,500 yang disita daripada Akademi Pemuda kerana ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB dilucutkan hak kepada kerajaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farez Rahman memaklumkan responden tidak membantah permohonan pendakwa raya untuk melucutkan hak ke atas wang itu.

Dalam prosiding hari ini, Akademi Pemuda tidak diwakili peguam dan wakilnya juga tidak hadir ke mahkamah.

Permohonan pelucuthakan itu dibuat mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Akademi Pemuda yang terletak di bawah Pemuda Umno berperanan sebagai ejen pelaksana program yang selari dengan visi sayap itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 21 Jun lalu mengumumkan ia memfaikan saman pelucuthakan terhadap 41 entiti dan individu untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang ada kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, penerima terbesar wang itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.