Cari konsensus terbaik dalam PH isu enakmen tukar agama, kata MB Selangor

Cari konsensus terbaik dalam PH isu enakmen tukar agama, kata MB Selangor

Terdahulu biro politik PKR menyarankan supaya Amirudin memberi taklimat penuh cadangan enakmen tukar agama anak kepada Majlis Presiden PH Jumaat ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengakui membuat permohonan untuk berbincang di peringkat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) berhubung isu enakmen pertukaran agama negeri tu.

Beliau berkata, ini bertujuan mencari konsensus terbaik bagi membolehkan kerajaan negeri membuat rancangan mengenai enakmen itu pada masa akan datang.

“Ia enakmen pentadbrian agama Islam. Saya melaporkan apa yang berlaku dan beberapa perkembangan melibatkan enakmen tersebut.

“Saya belum pernah melaporkannya secara rasmi,” katanya ketika ditemui pada majlis temu rapat naib canselor dan pengurus kanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semalam.

Sebelum itu, biro politik PKR menyarankan supaya Amirudin memberi taklimat penuh cadangan enakmen tukar agama anak kepada Majlis Presiden PH Jumaat ini, susulan bantahan parti komponen gabungan itu.

Pengarah Komunikasi parti itu Fahmi Fadzil berkata, PKR menyarankan demikian selepas Amirudin, yang juga pengerusi PKR Selangor memberi taklimat berhubung isu itu kepada biro politik parti.

Sebelum ini, DAP Selangor menegaskan tidak akan menyokong sebarang rang undang-undang yang membenarkan penukaran agama anak secara sebelah pihak oleh ibu atau bapa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor .

Amirudin berkata usul berkenaan masih perlu dibincangkan bersama rakan-rakan komponen PH, dan mungkin akan dibawa pada sesi sidang DUN akan datang jika ada kepentingan.

Dalam pada itu, berhubung dakwaan Zuraida Kamaruddin bahawa Anwar tidak melayan 3 surat yang dihantarnya, Amirudin meminta perkara itu dirujuk kembali kepada naib presiden PKR itu.

“Kalau rasa ada keperluan itu, tidak ada salahnya adakan pertemuan untuk bincang masa depan parti dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan dilaporkan berkata, tindakan Anwar tidak melayan 3 surat yang dihantarnya merupakan sebab beliau tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Zuraida berkata, surat itu bertujuan meminta diadakan pertemuan dengan Anwar bersama ahli MPP lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.