Bukan bas mini ‘merah jambu’, Rapid Bus jawab salah faham

Bukan bas mini ‘merah jambu’, Rapid Bus jawab salah faham

CEO Muhammad Yazurin berkata Rapid Bus belum memutuskan jenis bas yang akan digunakan bagi perkhidmatan bas mini.

Muhammad Yazurin Sallij. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bas mini “merah jambu” yang pernah berkeliaran di ibu negara pada 1990-an tidak akan digunakan dalam projek perkhidmatan bas mini yang dilaporkan semalam, kata Rapid Bus Sdn Bhd menjelaskan salah faham orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Yazurin Sallij berkata Rapid Bus masih belum memutuskan jenis bas yang akan digunakan dalam projek itu, yang akan menjalani tempoh perkhidmatan percubaan pada 1 September hingga 29 November depan.

“Ia bukan pengenalan semula bas mini, tidak ada kata pengenalan semula,” katanya kepada FMT.

“Yang pasti bukan bas berwarna merah jambu. Buat masa ini kita belum muktamadkan lagi jenis bas apakah yang akan digunakan. Ini masih percubaan,” katanya.

Bas mini “merah jambu” merupakan pemandangan biasa di Kuala Lumpur sehinggalah ia ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

Semalam, Rapid Bus mengumumkan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point menerusi Jalan Rasmi bagi menguji kesesuaiannya di kawasan kejiranan yang sempit, selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang.

Bas mini itu boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

Yazurin berkata Rapid Bus tidak akan menggunakan bas-bas itu untuk masuk ke Kuala Lumpur, dan hanya akan digunakan di taman perumahan.

“Kita sebelum ini ada masalah untuk sampai ke jalan-jalan dan kawasan-kawasan kecil,” katanya.

Yazurin menjelaskan Rapid Bus dalam peringkat hendak mengambil maklum balas pengguna, dan percubaan ini untuk membantunya mengenalpasti pengguna yang akan menggunakan laluan itu.

Beliau menambah Rapid Bus juga akan mencuba pelbagai jenis bas. Menurut datanya, laluan Bukit Indah ke Ampang Point menerusi Jalan Rasmi mempunyai 24,000 penumpang sebulan.

“Kita akan kumpul data dalam masa tempoh 3 bulan ini. Maka dari situlah, kita akan buat perancangan lain, sama ada hendak beli bas, berapa jumlah bas yang hendak dibeli,” katanya.

Ditanya apakah bas mini percubaan itu mesra Orang Kurang Upaya, Yazurin berkata belum ada OKU yang memerlukan perkhidmatan itu di laluan tersebut.

“Kita akan pertimbangkan juga. Kalau boleh, kita memang hendak sediakan bas mesra OKU. Namun jenis bas belum ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.