
Bagaimanapun pekerja GrabFood dan FoodPanda yang ditemui FMT berkata mereka tidak kisah dengan kemasukan Gojek.
Pekerja GrabFood, Muhamad Nazirmubin Saiful Bahry, 23, berkata dia berkata kemasukan Gojek akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak.
“Ini kerana FoodPanda dan GrabFood pun sudah bersaing masa ini. Jadi bukan sahaja pelanggan ada pilihan nak pilih perkhidmatan mana, tetapi ‘rider’ juga boleh pilih nak buat perkhidmatan mana dengan kemasukan Gojek,” katanya.
Seorang lagi pekerja GrabFood, Muhamad Azim Zulkifly, 23, berkata terpulang kepada pelanggan untuk memilih sama ada mahu menggunakan perkhimatan GrabFood, FoodPanda atau Gojek.

“Pelanggan lebih percaya pada siapa atau mana lebih laju dan lebih baik. Gojek pun ada bawa makanan dan barang-barang,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan Gojek diperkenaklan di Malaysia dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof berkata, Kabinet bersetuju namun belum membuat keputusan mengenai peraturan berkenaannya.
Gojek merupakan syarikat gergasi Indonesia dalam perniagaan e-hailing motosikal.
Ditubuhkan pada 2010, Gojek menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk GoRide (pengkhidmatan pengangkutan motosikal), GoCar (pengangkutan kereta seperti GrabCar), GoFood (penghantaran makanan), GoBlueBird (perkhidmatan teksi), GoBills (pembayaran bil semasa), GoMart (perkhidmatan pembelian barangan di pasar raya), GoLaundry (perkhidmatan dobi) dan GoAuto (perkhidmatan membaiki kenderaan).

Sementara itu, pekerja FoodPanda, Nasrul Naim Muddin, 21, berkata mana-mana perkhidmatan seperti Gojek memberi kebaikan kepada golongan muda.
Beliau berkata golongan muda yang minat kepada sukan permotoran suka membuat kerja perkhidmatan seperti FoodPanda dan GrabFood kerana mereka bebas.
“Ini atas rezeki masing-masing. Tak kisah jika banyak persaingan,” katanya.

Seorang lagi pekerja FoodPanda, Nasrizal Nasri, 25, berkata kemasukan Gojek bukan menjadikan negara ketinggalan ke belakang.
Beliau berkata kemasukan Gojek mewujudkan lebih banyak pilihan dan industri ini lebih meriah.
Terdahulu, Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail tidak bersetuju pengenalan Gojek, mengatakan langkah membantu pengguna motosikal membuat perniagaan kecil, bukan suatu kemajuan.
“Dia (Syed Saddiq) seru anak muda jadi ‘despatch’, tak nak maju ke depan. Banyak menteri maju ke depan seperti kereta nasional, kereta terbang tapi Syed Saddiq tak.
“Bawa Gojek sebagai kerjaya tak dapat jamin masa depan. Anak muda tak nak tapi mereka terpaksa sebab tak ada kerja,” katanya.